Bukan Islam boleh ucap Alhamdulillah, diharuskan selagi tak hina agama– Pejabat Mufti WP

Bukan Islam boleh ucap Alhamdulillah, diharuskan selagi tak hina agama– Pejabat Mufti WP


Golongan bukan Islam dibenarkan menggunakan kalimah yang lazim digunakan umat Islam seperti alhamdulillah dan insya-Allah, dengan syarat tidak merendahkan kesucian agama Islam serta digunakan dalam konteks yang betul.

Perkara itu dijelaskan oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menerusi satu penjelasan awam yang dimuat naik di laman web rasminya hari ini, susulan kontroversi tercetus berhubung penggunaan kalimah alhamdulillah oleh pemimpin DAP, Nga Kor Ming di Parlimen.

Menurut jabatan itu, penggunaan kalimah Islam oleh bukan Muslim juga tidak boleh mengandungi unsur olok-olok, penghinaan atau persendaan terhadap agama Islam.

Bukan Islam boleh ucap Alhamdulillah

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, penggunaan tersebut adalah dibenarkan selagi mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Secara kesimpulannya, penggunaan kalimah-kalimah Islam oleh bukan Muslim dalam perbualan harian adalah harus dan dibolehkan dalam suasana masyarakat majmuk yang saling meniru perbuatan antara satu sama lain,” katanya.

Beliau yang juga anak kepada bekas Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor, menjelaskan bahawa penggunaan kalimah berkenaan perlu dilakukan dengan penuh adab dan kefahaman terhadap maksud sebenar istilah tersebut.

Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan turut menggariskan beberapa panduan yang perlu dipatuhi oleh bukan Islam.

Antaranya adalah kalimah Islam tidak boleh digunakan dalam konteks penghinaan atau bahan jenaka, tidak dijadikan slogan komersial sehingga mencemarkan makna asal, serta perlu merujuk umat Islam bagi mendapatkan penjelasan makna sebenar agar penggunaannya tepat mengikut situasi.

Penjelasan itu dibuat sehari selepas tercetus polemik di Dewan Rakyat apabila Ahli Parlimen Rantau Panjang (PAS), Siti Zailah Yusoff menegur Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang menggunakan istilah seperti alhamdulillah, insya-Allah dan sujud syukur ketika berucap.

Artikel lain: ‘Jangan ikut tabiat PAS, semua dia lakukan halal, bila orang lain buat dianggap haram’ – Kor Ming

Terdahulu, Nga ketika sesi penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada Rabu lalu menggunakan istilah tersebut bagi melahirkan rasa syukur atas kejayaan kementeriannya menghidupkan semula kira-kira 40,000 unit projek perumahan terbengkalai di Bukit Katil, Melaka.

Situasi itu mencetuskan reaksi apabila Siti Zailah mencelah dengan bertanyakan sama ada Nga “sudah beriman”, sekali gus mengundang pelbagai pandangan dan perdebatan dalam kalangan pemimpin politik serta masyarakat.

Sumber: FB Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan





Source link

OR

Scroll to Top