Laporan Sukan Sinar pada Rabu. Gambar kecil: Windsor
BUKAN mudah buat kelab tempatan untuk beraksi di luar negara kerana perlu melalui tapisan yang ketat oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Malah Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Windsor Paul berkata, pasukan tersebut juga perlu memberikan alasan yang munasabah bagi membolehkan mereka bersaing di luar negara.
“Mereka perlu melakukan permohonan dan memberikan rasional mengapa mereka perlu bermain dalam liga asing,” katanya.
FA Singapura dilaporkan mempelawa kelab dari dalam dan luar negara untuk mengambil bahagian dalam saingan liga divisyen satu negara itu iaitu Liga Perdana Singapura (SPL).
Windsor menjelaskan bahawa kelab perlu mendapatkan Kebenaran daripada badan induk, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Tambahnya, mereka juga perlu melakukan rujukan kepada AFC sebelum memohon lampu hijau daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Apapun ia juga dilihat janggal jika ada permohonan daripada sesebuah pasukan untuk bersaing di luar negara pada ketika liga domestik masih aktif dan kompetitif.
“Jika di negara sendiri memiliki liga profesional, bagaimana kami boleh memberikan kebenaran untuk mereka bermain dalam liga di sebuah negara lain?
“Ia akan menjadi liga serantau. Kalau ada sesebuah kelab yang mahu bermain dalam liga di negara lain, mereka perlu memohon kebenaran,” katanya.
Media melaporkan bahawa Selangor FC menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Johan Kamal Hamidon akan meneliti cadangan untuk menghantar skuad Piala MFL beraksi di liga negara Seberang Tambak itu.
Sebelum ini, beberapa kelab dari luar negara pernah beraksi dalam saingan SPL seperti Albirex Nigata (Jepun), Etoile FC (Perancis) dan Brunei DPMM yang mana tiga pasukan ini pernah muncul sebagai juara liga.
Selain itu, pasukan muda negara iaitu Harimau Muda juga pernah beraksi di Singapura sebagai pertukaran untuk Lions XII yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia.