“BUKAN mudah menjadi pemain profesional. Semuanya perlu diuruskan dan ditanggung sendiri.”
Itu reaksi Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM, Datuk Dr Pekan Ramli berkenaan desas-desus bahawa beregu badminton wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah, akan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
“Mungkin mereka bertuah jika mempunyai pasukan yang lengkap dan membawa kepada pelbagai kejayaan. Tetapi jika gagal dan terus gagal, bagaimana pula implikasinya nanti? Penaja pun boleh angkat kaki.
“Akhirnya, mereka juga yang akan rugi. Harap-harap tiada pula isu-isu kontroversi demi kontroversi yang perlu ditangani, dan bersedialah untuk menghadapi pelbagai tekanan emosi,” katanya kepada Sukan Sinar.
BAM sebelum ini mengesahkan bahawa Pearly-Thinaah masih sebahagian daripada keluarga badan induk itu, di sebalik spekulasi yang menyatakan pasangan berkenaan akan meninggalkan organisasi tersebut.
Malah, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, menegaskan bahawa pihaknya masih dalam perbincangan dengan mereka berhubung kontrak yang telah tamat pada Januari lalu.
“Saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi kerana setakat yang saya tahu, mereka masih sebahagian daripada BAM dan saya gembira melihat mereka masih berlatih di sini.
“Adalah normal bagi sesiapa sahaja untuk meminta kenaikan gaji apabila kontrak tamat. Apa yang lebih penting ialah komitmen dan usaha keras mereka dalam latihan,” katanya.
Dalam masa sama, Pekan turut menyarankan agar Pearly dan Thinaah kekal bersama BAM, sekurang-kurangnya sehingga temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
“Kalau boleh, saya mahu mereka kekal bersama BAM sehingga misi meraih pingat emas di Los Angeles 2028 tercapai.
“Ambil sahaja contoh terbaik seperti Datuk Lee Chong Wei yang kekal bersama BAM walaupun selepas memenangi pingat perak di Olimpik Beijing 2008 hingga ke Rio 2016.
“Saya juga ingin mengingatkan Pearly dan Thinaah agar kekal dengan BAM. Jangan nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran.
“Secara logiknya, kenapa perlu kita khuatir tentang apa yang dikendong mereka nanti berciciran? Kerana yang dikejar pun belum dapat (belum menang pingat Olimpik atau juara dunia), dan belum tentu apa yang mereka kejar di luar BAM itu lebih mudah dicapai – mungkin ia akan menjadi lebih sukar,” tambahnya.
Pekan juga berharap semua pihak, terutama komuniti badminton negara, akan berlapang dada menerima apa jua keputusan yang akan dibuat oleh Pearly-Thinaah.
“Hanya mereka yang tahu berapakah nilai diri mereka ketika ini di bawah BAM, dan berapa pula nilai penajaan yang BAM terima hasil kehadiran mereka.
“Adakah ia terlalu berat sebelah sehingga memaksa mereka menuntut kenaikan gaji?
“Selain itu, kerjaya pasangan beregu utama negara ini juga boleh dianggap sudah menghampiri penghujung. Walaupun masih mampu beraksi pada tahap terbaik untuk dua hingga tiga tahun lagi, kemunculan ramai gandingan muda dari China, Jepun, Korea Selatan, Indonesia dan Thailand akan menyukarkan persaingan mereka nanti.
“Akhir sekali, kita tidak boleh mengetepikan faktor tawaran penajaan lumayan secara peribadi yang mungkin mereka bakal terima sebagai jaminan masa depan selepas bersara. Inilah waktu terbaik untuk membuat keputusan sebelum prestasi mereka menurun,” katanya.