Arif Aiman bersama pemain JDT merai kejayaan merangkul Piala Sultan Haji Ahmad Shah selepas menewaskan Selangor FC perlawanan aksi Sumbangsih 2025 di Stadium Sultan Ibrahim. Foto Bernama
PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail menegaskan bahawa mengekalkan prestasi cemerlang kelab bukan tugas mudah memandangkan semua pasukan Liga Malaysia (Liga-M) turut giat memperkukuh skuad masing-masing.
Baginda yang juga Pemangku Sultan Johor menekankan bahawa setiap pasukan kini tampil dengan strategi dan perancangan tersendiri, justeru penyokong perlu lebih realistik terhadap harapan yang diletakkan ke atas Harimau Selatan.
“Saya selalu berfikir secara rasional. Tidak adil jika kita bertanya mengapa tidak menang 5-0 atau hanya menang 3-0 ke atas Selangor.
“Ataupun, kenapa kita menang 5-3 sahaja dengan negeri sembilan?
“Kita perlu faham, lawan kita juga sedang meningkat dan sama-sama berusaha memperbaiki pasukan mereka,” titah baginda.
Menurut baginda lagi, faktor itu menjadikan saingan liga lebih sengit, sekali gus memberi cabaran besar kepada JDT untuk mempertahankan rekod tanpa kalah yang dipegang sejak tiga musim lalu.
“Bukan mudah untuk mengekalkan rekod tiga tahun tanpa kalah.
“Pasti ada naik turun musim ini dan saya sedar perkara itu,” titah baginda lagi.
Sejak sedekad lalu, JDT menguasai Liga Super dengan 11 gelaran berturut-turut, selain merangkul Piala Malaysia dan Piala FA dalam tiga musim terakhir.
Kelab itu juga mencipta impak di pentas antarabangsa apabila mara ke pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) tahun lalu.