‘Bukan mudah untuk sampai ke tahap ini’

‘Bukan mudah untuk sampai ke tahap ini’


Tang Jie (kiri) dan Ee Wei meraikan kemenangan selepas mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir Kejohanan Dunia pada Sabtu. Foto AFP

BEREGU badminton campuran utama negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei terus melakar sejarah apabila mara ke final Kejohanan Dunia selepas menundukkan wakil tuan rumah, Thom Gicquel–Delphine Delrue menerusi straight set 21-18, 21-16 dalam pertarungan separuh akhir selama 48 minit di Adidas Arena, Paris pada Sabtu.

Kejayaan itu sekali gus melengkapkan hari gemilang buat badminton negara apabila beregu wanita utama negara, Pearly Tan–M Thinaah turut menempah slot final kategori masing-masing.

Namun bagi Ee Wei, perjalanan mereka ke tahap ini bukan satu laluan mudah apabila mengakui banyak cabaran yang perlu diharungi bersama Tang Jie sejak mula bergandingan semula.

“Bukan mudah untuk sampai ke tahap ini kerana terlalu banyak perkara berlaku dalam perjalanan kami.

“Langkah demi langkah kami cuba atasi cabaran itu. Kini kami akhirnya berada di pentas akhir. Saya mahu jadikan pengalaman ini sebagai kekuatan untuk menjadi lebih baik selepas ini,” ujar Ee Wei ketika ditemu ramah Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Tambahnya lagi, sokongan keluarga, rakan serta jurulatih menjadi tunjang utama kebangkitan mereka selepas pernah berpisah sebagai gandingan sebelum ini.

“Ramai tidak tahu kisah di sebalik apa yang kami lalui. Sebab itu kami hanya mahu fokus pada latihan dan percaya dengan proses yang dilakukan.

“Kemenangan ini bukan untuk kami berdua sahaja, tetapi juga untuk semua yang sentiasa berdiri bersama ketika kami melalui masa sukar,” katanya.

Sementara itu, Tang Jie menegaskan perjuangan mereka masih belum selesai kerana misi sebenar ialah merealisasikan impian membawa pulang kejuaraan dunia pertama dalam sejarah beregu campuran.

“Kami hanya selangkah lagi. Esok adalah penentu. Kami perlu berehat, kembali fokus dan berikan segalanya di pentas akhir,” tegas Tang Jie.



Source link

OR

Scroll to Top