June 18, 2024

Bukan rombak satu FAM


ROMBAKAN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) seperti yang dicadangkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ada asasnya untuk memastikan bola sepak negara lebih ke hadapan.

Bagaimanapun, bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Ridzuan Sheikh Ahmad menegaskan rombakan tersebut tidak perlu dilakukan untuk semua jawatan dalam badan induk bola sepak negara itu.

Sebaliknya, ia hanya perlu melibatkan beberapa jawatan berkaitan dengan prestasi pasukan kebangsaan seperti pengarah teknikal dan beberapa jawatan lain yang kurang memberikan impak.

Malah, beliau juga percaya sistem dalam membentuk kesemua pasukan kebangsaan bermula daripada skuad muda perlu diberikan nafas baharu.

“Rombakan keseluruhan FAM itu bagi saya tidak terlalu tepat kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah.

“Rombakan itu mungkin hanya melibatkan beberapa jawatan seperti bahagian teknikal dan pengurusan skuad, bukan sahaja pasukan senior tetapi juga meliputi semua pasukan kebangsaan.

“Mungkin mereka yang ada dalam jawatankuasa tersebut sudah melakukan yang terbaik tetapi ia tidak cukup dan perlu ada perubahan agar idea untuk pasukan kebangsaan lebih segar. Kita perlukan pakar untuk sistem bola sepak kita,” katanya kepada Sukan Sinar.

Sebelum ini FAM dikritik selepas skuad Harimau Muda pulang awal tanpa sebarang mata dalam kempen Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) di Qatar.

Beberapa pihak tampil memberikan cadangan agar FAM dirombak termasuk Khairy Jamaluddin yang percaya ini waktu sesuai untuk FAM melakukan peralihan pucuk pimpinan.

Ridzuan berkata, kegagalan skuad B-23 negara di Qatar itu juga menunjukkan kegagalan sistem dan perancangan yang telah diatur sejak lima tahun lalu melibatkan kualiti pemain di peringkat akar umbi.

“Kualiti pemain pada hari ini adalah berdasarkan apa yang dibuat lima tahun lepas. Kalau kita bawa jurulatih terbaik pun susah nak bawa pasukan dengan kualiti yang kita ada hari ini.

“FAM perlu ada sistem yang baharu untuk tempoh lima tahun akan datang. Perancangan perlu dibentuk kerana skuad B-23 ketika ini boleh dikatakan gagal.

“Sudah tiba masanya melakukan perubahan bagi memastikan sistem baharu ini berjaya untuk skuad negara,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top