KEBERANIAN dan semangat juang luar biasa ditampilkan pemain Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra Perdana menjadi kisah utama di sebalik kegagalan merangkul kejuaraan Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 Tahun (B-15), selepas tewas kepada SMK Meru di Stadium Panasonic, Sabtu lalu.
Pertembungan sengit itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 sebelum SMK Putra Perdana akur dengan kekalahan 3-4 dalam penentuan sepakan penalti.
Antara aksi menarik perlawanan akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 di Stadium Panasonic, Shah Alam, pada Sabtu. Antara aksi menarik perlawanan akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 di Stadium Panasonic, Shah Alam, pada Sabtu. Foto Sinar Harian – MOHD HALIM ABDUL WAHID
Bagi pengendali pasukan, Mohd Faiz Ghazali, anak buahnya bukan sekadar bermain bola sepak tetapi membuktikan nilai keberanian, disiplin dan semangat berpasukan yang menjadi asas sebenar pembangunan bola sepak akar umbi negara.
“Keberanian, disiplin dan semangat berpasukan yang tinggi itulah kekuatan sebenar kami.
“Walaupun tewas dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan dan ketinggalan pada aksi pusingan 16 serta separuh akhir, pemain-pemain tidak pernah berputus asa.
“Mereka terus berjuang hingga ke pentas final,” katanya kepada Sukan Sinar dengan penuh penghargaan terhadap usaha pemainnya sepanjang musim ini.

Dari kanan: Faiz bersama barisan kejurulatihan skuad B-15 SMK Putra Perdana, Sukri Jaafar dan Khairul Anuar bagi saingan Piala Datuk Mokhtar Dahari 2025. Foto Sinar Harian – MOHD HALIM ABDUL WAHID
Tambahnya lagi, perjalanan pasukan dalam Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sepang itu penuh pengajaran dan membuktikan bahawa keutuhan mental serta komitmen bersama mampu mengatasi segala kekangan di padang.
“Sebelum sepak mula final, saya melihat wajah anak-anak ini dengan rasa bangga. Pada awal kejohanan, saya hanya menyasarkan untuk mara ke suku akhir, tetapi semangat juang dan kesatuan mereka membawa kami ke final. Itulah kemenangan sebenar buat pasukan ini,” ujarnya.
Mohd Faiz menegaskan, pengalaman beraksi di pentas akhir berprestij seperti itu akan menjadi bekalan berguna untuk pemain-pemain muda Putra Perdana melangkah ke fasa lebih matang bukan sahaja sebagai pemain bola sepak, tetapi juga sebagai insan berdisiplin dan berjiwa besar.
INFO
Kejohanan tahunan ini mendapat tajaan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), dengan sokongan Sinar Harian sebagai akhbar rasmi.
Road to final Piala Mokhtar Dahari B-15 SMK Putra Perdana
KUMPULAN D
SMK Putra Perdana 0 – 1 SMK Bandar Tun Hussein Onn ( 2 )
SMK Putra Perdana 2 – 0 SMK Kota Kemuning
SMK Putra Perdana 2 – 0 SMK TTDI Jaya
Putra Perdana mara dengan status juara kumpulan D
PUSINGAN 16
SMK Putra Perdana 1 – 1 SMK Kuala Kubu Bahru
* SMK Putra Perdana menang penalti 3-0
SUKU AKHIR
SMK Putra Perdana 0 – 0 SMK Bandar Baru Bangi.
* SMK Putra Perdana menang penalti 3-2
SEPARUH AKHIR
SMK Putra Perdana 2 – 1 SMK Taman Melawati
FINAL
SMK Putra Perdana 1 – 1 SMK Meru
* SMK Putra Perdana tewas penentuan sepakan penalti 3-4
INFO
Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 2025
Penjaga Gol Terbaik
Johan Imran Rizuan – SMK Putra Perdana
Penjaring Terbanyak
Abdul Malik Al Amruash Mohd Nazri – SMK Dato’ Harun (8 gol)
Pemain Terbaik Perlawanan Akhir
Muhammad Raziq Hamzah – SMK Meru, Klang
Ringkasan AI
- Keberanian dan semangat juang luar biasa ditampilkan pemain Sekolah Menengah Kebangsaan Putra Perdana dalam kejuaraan Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 Tahun
- Pemain-pemain SMK Putra Perdana tidak pernah berputus asa walaupun tewas dalam perlawanan awal dan berjuang hingga ke pentas final
- Mohd Faiz Ghazali, pengendali pasukan, memuji keberanian, disiplin dan semangat berpasukan pemainnya sebagai asas pembangunan bola sepak akar umbi
- Sepanjang perjalanan kejohanan, pasukan mengatasi segala kekangan dengan keutuhan mental dan komitmen bersama
- Pengalaman beraksi di pentas akhir akan menjadi bekalan berguna untuk pemain-pemain muda Putra Perdana melangkah ke fasa lebih matang