Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong mencuri perhatian apabila hadir membuat kejutan pada hari pendaftaran anak bekas pemandunya di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di Facebook semalam, Steven Sim berkongsi detik pertemuannya bersama keluarga bekas pemandunya, Elias, yang pernah banyak membantu ketika beliau memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan.
Menurut beliau, hubungan bersama Elias kekal rapat meskipun sudah tidak lagi berkhidmat di kementerian berkenaan, malah menganggap individu itu bukan sekadar pemandu tetapi seorang sahabat.

Kisah itu bermula apabila Elias memaklumkan anaknya, Ellyna, berjaya memperoleh keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum melanjutkan pengajian dalam program Tamhidi Syariah dan Undang-Undang di USIM.
Steven Sim kemudian mengambil inisiatif menghadiahkan sebuah komputer riba kepada Ellyna bagi membantu keperluan pembelajarannya di universiti.
“Abang Elias ada call saya untuk kalau boleh bantu sebuah laptop bagi kat Ellyna. Jadi pada hari pendaftaran masuk USIM, saya buat satu surprise (kejutan) untuk depa (mereka).
“Dah lama saya tak jumpa Elias, jadi saya bawa sendiri sebuah laptop pi (pergi) kat (dekat) kampus untuk serah sendiri kepada Ellyna,” katanya.

Dalam perkongsian sama, Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu turut meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian Ellyna serta pengorbanan ibu bapanya yang bekerja keras demi masa depan anak.
Artikel lain: Guna duit poket sendiri! Steven Sim langsaikan kos rawatan pensyarah zaman belajar
Lebih menyentuh hati, Steven Sim turut meminta izin daripada keluarga Elias untuk mengambil Ellyna sebagai anak angkatnya bagi membantu menjaga kebajikan gadis itu sepanjang tempoh pengajian.

Beliau berharap Ellyna terus melangkah dengan ilmu dan akhlak yang baik, selain mampu merealisasikan impiannya untuk menjadi seorang peguam syarie yang berintegriti serta membela golongan memerlukan.
Sumber: FB Steven Sim Chee Keong 沈志强






