SKUAD boling padang negara terus mencipta sensasi di pentas antarabangsa apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Piala Lion City 2025 di Kallang Lawn Bowls Green & Tanglin Club, Singapura, baru-baru ini.
Pasukan negara pulang dengan kutipan tiga pingat emas, satu perak dan enam gangsa, menewaskan pasukan handalan dari Australia, Singapura, Hong Kong dan India.
Jurulatih boling padang negara, Erda Firdayu Saroji menyifatkan kejayaan itu sebagai manifestasi kerja keras dan komitmen luar biasa seluruh pasukan, termasuk atlet pelapis dan pemain senior.
“Semua pemain yang diturunkan pulang dengan sekurang-kurangnya satu pingat. Itu satu pencapaian luar biasa dan cukup membanggakan.
“Apa yang lebih manis, kombinasi pemain elit dan pelapis berjaya menghasilkan keputusan konsisten sepanjang kejohanan. Ini bukti bahawa perancangan pembangunan kita berada di landasan yang tepat,” katanya.
Empat pemain wanita dalam Program Podium menyumbang keputusan positif, antaranya gandingan Nurul Alyani Jamil dan Emma Firyana Saroji yang meraih emas menerusi Format Ends serta perak dalam Format Set. Mereka sebelum ini turut merangkul perak di Kejohanan Terbuka Australia 2025 di Gold Coast.
Satu lagi pasangan negara, Aleena Ahmad Nawawi dan Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman turut menyumbang gangsa dalam Format Set, sekali gus menjadikan semua atlet elit kebangsaan mencatat rekod podium.
“Kejohanan ini bukan sekadar tentang kutipan pingat, tetapi membuktikan ketahanan mental dan konsistensi prestasi pemain kita di peringkat antarabangsa.
“Biarpun boling padang tidak dipertandingkan dalam Sukan SEA 2025 di Thailand, prestasi yang kami tonjolkan di Singapura ini adalah isyarat jelas bahawa Malaysia kekal sebagai pencabar utama di rantau ini,” ujar Erda lagi.
Kejohanan edisi 2025 mempertandingkan enam acara beregu (pairs) merangkumi dua format iaitu Format Set dan Format Ends, Malaysia menghantar dua pasukan senior dan dua pasukan Bawah 25 tahun melibatkan lapan atlet lelaki serta lapan atlet wanita.
Antara pencapaian membanggakan, pasukan lelaki B-25 Malaysia A muncul juara Format Set selepas menewaskan Filipina, sementara Malaysia B dan Australia berkongsi tempat ketiga.
Dalam kategori wanita pula, Malaysia B menggondol emas diikuti Hong Kong (perak), manakala Malaysia A dan Australia masing-masing meraih gangsa.
Bagi kategori Terbuka Lelaki, Australia meraih emas, India di tempat kedua, manakala Malaysia A dan Thailand berkongsi gangsa. Dalam Kategori Terbuka Wanita, Singapura menjuarai acara, Malaysia A meraih perak, manakala Malaysia B dan New Zealand menduduki tempat ketiga.
Format Ends bagi Wanita Terbuka pula menyaksikan Malaysia A menewaskan Singapura untuk membawa pulang emas. Malaysia B dan satu lagi pasukan Singapura berkongsi gangsa. Dalam kategori lelaki, Hong Kong muncul juara diikuti Australia, manakala Malaysia B serta satu lagi pasukan Australia berkongsi tempat ketiga.
Erda turut menjelaskan bahawa skuad wanita dibarisi lapan pemain, empat atlet senior dan empat pemain bawah 25 tahun. Skuad lelaki pula terdiri sepenuhnya daripada atlet Malaysia University Lawn Bowls, melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Kekuatan sebenar kita kali ini datang daripada keseimbangan seramai 38.1 peratus pemain junior dan 61.9 peratus pemain senior. Perpaduan ini membentuk pasukan yang mantap dan serba boleh,” tambahnya.
Erda turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Jurulatih Zuraidi Puteh, Presiden Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM) Datuk Awalan Abdul Aziz, pegawai-pegawai KPT seperti Mazilan Rambli, Eric Yeo Cheng Aun dan Muhamad Khuzaimie, serta Yayasan Sime Darby.
“Kami bukan berjuang seorang diri. Kejayaan ini juga milik semua pihak yang menyokong kami dari belakang tabir. Ini semangat Malaysia sebenar,” tegas Erda.
Ditanya tumpuan seterusnya, Erda berkata, fokus kini terarah kepada persediaan untuk kejohanan lebih berprestij termasuk Piala Dunia 2025 dari 4 hingga 8 November 2025, diikuti Piala Asia 2026 di India dan Sukan Komanwel Glasgow 2026.