am@hmetro.com.my
Kuantan: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar, berkata pemilihan pimpinan pusat PKR bukan sahaja mengenai pilihan raya umum (PRU) akan datang tetapi memastikan kewujudan parti itu berterusan.
Nurul Izzah yang bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan sesi 2025-2028 berkata, PKR perlu menghadapi cabaran dalam mengekalkan momentum parti bagi tempoh antara 10 hingga 20 tahun akan datang.
“Sebagaimana dalam semua perancangan kita, parti ini harus lihat mampu hidup, mampu lebih kukuh menerusi pimpinan yang kita pilih, lebih-lebih lagi negeri kita tidak menggunakan kekuatan dan membina akar umbi yang berimpak.
“Dalam pimpinan kalau berhadapan bukan soal nak hidup selepas PRU akan datang tetapi kita juga nak cari jalan nak hidup 10 dan 20 tahun akan datang.
“Saya sangat bimbang sebenarnya, saya nampak trend kalau parti kongres di India mereka mula kekalahan negeri pada 2003, dalam 20 tahun mereka hilang kerajaan pusat,” katanya.
Nurul Izzah berkata demikian ketika berucap pada program Temu Rapat Akar Umbi : Bersama Membina Parti Kita di sini malam ini.
Turut hadir, Naib Presiden PKR merangkap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek.
Nurul Izzah akan bertanding menentang Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli untuk jawatan nombor dua parti berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, PKR perlu melakukan rombakan perbincangan dengan parti komponen lain jika mahu mengukuhkan parti berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd