‘Bukan soal tukar nama, yang penting gol’ – Annuar Musa

‘Bukan soal tukar nama, yang penting gol’ – Annuar Musa


‘INI bukan soal tukar nama, yang penting bola masuk gol.”

Demikian penegasan Penasihat Kelantan The Real Warriors (TRW), Tan Sri Annuar Musa, yang mahu semua pihak kembali memberi tumpuan kepada pembangunan bola sepak Kelantan secara profesional, bukan terus terperangkap dalam isu logo mahupun identiti masa lalu.

Menurut tokoh pembangunan bola sepak negeri itu, penjenamaan semula Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) kepada Kelantan TRW adalah perkara normal dalam dunia kelab profesional yang beroperasi melalui struktur pemilikan saham, bukan lagi di bawah model persatuan seperti era Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dahulu.

“Ramai tak faham, ini liga profesional. Apabila profesional, ada pemegang saham yang perlu melabur, ada strategi pemasaran sendiri.

“Takkanlah bila pemilik baharu ambil alih saham, tak boleh ubah nama, logo atau hala tuju kelab. Semua itu keputusan syarikat. Yang penting, kelab kekal milik rakyat Kelantan dan budaya pengurusan bola sepak itu sendiri diperkasakan,” katanya ketika ditemui semasa sesi latihan pertama pemain di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, pada Selasa.

Annuar berkata, pembangunan bola sepak negeri kini melibatkan tiga pasukan iaitu Kelantan TRW di Liga Super serta Kelantan Red Warrior Football Club (KRW FC) dan Wan Tendong Stable Football Club (WTS FC) di liga semi-pro.

“Sekarang kita ada tiga pasukan, semua penting. Tapi TRW mewakili Kelantan di liga tertinggi iaitu Liga Super, jadi perlu diberi perhatian khas sebagai wakil wajah utama bola sepak Kelantan ini.

“Saya bantu beri pandangan dari segi pemilihan pemain, jurulatih dan struktur kelab yang mampan. Bukan nak ‘apa-apa’, hanya kongsi pengalaman,” katanya.

Mengulas sasaran pasukan, beliau secara realistik menjangka Kelantan TRW boleh kembali ke kelompok teratas dalam tempoh dua hingga tiga musim, bergantung kepada kestabilan pengurusan dan sokongan penyokong.

“Sekarang ini sasaran pengurusan adalah pertengahan liga. Pada saya, minimum duduk top 10 dahulu, jangan nyawa-nyawa ikan.

“Selepas enam bulan kita nilai balik. Untuk capai kelompok empat teratas, paling cepat dua tahun. Kita jangan ‘khayal’ terlalu tinggi, sekarang ini pentingkan proses dan konsisten dahulu,” ujarnya.

Annuar turut menyifatkan cabaran utama TRW ketika ini ialah bajet terhad, kesukaran mendapatkan penaja serta pembentukan pasukan yang baharu dibina, selain pemain datang dari pelbagai tempat dan belum pernah bermain bersama.

Tambah beliau, TRW juga berpotensi membuka keahlian kepada penyokong sebagai pemegang saham pada masa hadapan, satu langkah ke arah pengurusan moden dan lebih inklusif.

“Nama baharu itu menjadi simbol perubahan. Dahulu saya urus pasukan bawah persatuan, sekarang ini kelab profesional milik syarikat. Kalau nak berjaya, kena ubah budaya, dari pemain sampai ke pengurusan.

“Cukuplah puak-puak, sekarang tumpu bola,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top