am@hmetro.com.my
Jitra: “Bukan saya tak mahu pindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) tetapi buat sementara waktu ini, lebih selesa tinggal dalam khemah di depan rumah kerana senang nak tengok keadaan rumah depan mata,” kata Siti Aminah Md Isa, 71.
Siti Aminah adalah antara mangsa banjir di Kampung Padang Teja, di sini, yang terjejas selepas rumahnya dinaiki air sejak kelmarin.
Katanya, dia yang sebelum ini tinggal bersama anak bongsunya berusia 27 tahun bersyukur kerana dua lagi anak pulang ke kampung sempena cuti sekolah turut membantu mengangkat barangan dalam rumah.
“Kali terakhir kawasan rumah dilanda banjir teruk pada tahun 2010 dan tahun ini adalah antara banjir yang paling teruk juga kerana ada rumah tenggelam dan nampak bumbung saja.
“Syukurlah anak-anak, menantu serta cucu pulang dari Selangor dan Pulau Pinang semalam, merekalah yang belikan khemah serta kain selimut untuk sama-sama tidur dan bersantai tepi sungai dan rumah yang dikelilingi air,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.
Katanya, jika anak-anaknya tidak pulang, sudah tentu dia tidak berdaya mengangkat barangan dalam rumah.
Menurutnya, PPS berhampiran rumahnya di Kampung Lubuk Batu, di sini, sudah sesak dengan mangsa banjir manakala PPS di Bandar Darulaman terletak jauh dari rumahnya.
Katanya, disebabkan itu, dia mengambil keputusan tinggal dalam khemah di luar rumah bersama anak-anak, menantu dan cucunya supaya dekat dengan rumah.
“Nak duduk macam ini bukannya selalu. Ini pun sebab banjir, kalau tidak takkan kami nak bermalam di luar rumah kerana rasa macam berkelah di tepi sungai.
“Namun jika hujan lebat berterusan dan banjir makin memburuk, saya akan berpindah ke PPS demi keselamatan diri,” katanya.
Sementara itu, menantunya, Kaha Kamarudin, 50, berkata, dia dimaklumkan rumah mentuanya dinaiki air ketika dalam perjalanan pulang ke kampung dari Pulau Pinang.
Katanya, disebabkan banyak barang yang masih dalam rumah, mereka mengambil keputusan membeli khemah, kain dan tuala untuk tinggal di hadapan rumah yang dilanda banjir.
“Seronok juga kerana pertama kali kami bersantai dalam khemah di luar rumah sambil menikmati keindahan sungai dan banjir seolah-olah berkelah di tepi pantai.
“Tapi yang tak seronoknya kalau hujan kerana bimbang paras air akan meningkat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd