JDT berjaya mengatasi cabaran kelab Jepun, Sanfrecce Hiroshima untuk mara ke suku akhir. Foto JDT
KEJAYAAN Johor Darul Ta’zim (JDT) melangkah ke pusingan suku akhir saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menjadi bukti bahawa kelab dari Malaysia itu kini berada di kelas tersendiri dan mampu bersaing di peringkat tertinggi bola sepak Asia.
JDT mencipta sejarah ke suku akhir tersebut selepas berjaya menundukkan wakil Jepun, Sanfrecce Hiroshima dengan keputusan agregat 3-2 pada aksi pusingan 16.
Pengendali JDT, Xisco Munoz berkata, perlawanan menentang Hiroshima itu sebagai ujian yang getir dan dia berbangga dengan komitmen tinggi yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya.
“Ia adalah satu perlawanan yang sukar. Kami sudah membincangkan tentang ancaman bahaya yang mereka miliki daripada situasi bola mati dan hari ini mereka menjaringkan gol lagi menerusi situasi tersebut.
“Tetapi perkara paling penting ialah pasukan tetap meneruskan rentak dengan intensiti yang sama, kekuatan serta kepercayaan penuh terhadap apa yang kami lakukan di atas padang,” katanya.
Mengulas lanjut pencapaian tersebut, Munoz menyifatkan ia sebagai satu sejarah baharu bukan sahaja buat kelab, malah untuk arena bola sepak negara secara keseluruhannya.
“Kami telah melakar sejarah sebuah kelab dari Malaysia berjaya mara lebih jauh di peringkat kalah mati (suku akhir), dan ini merupakan sesuatu yang sangat positif.
“Walaupun masih ada beberapa perkara yang boleh diperbaiki, saya sangat gembira kerana kelab telah membuktikan kemampuannya untuk bersaing di tahap tertinggi,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) melangkah ke pusingan suku akhir saingan Liga Juara-Juara Asia Elit
- JDT mencipta sejarah ke suku akhir selepas menundukkan Sanfrecce Hiroshima dengan agregat 3-2
- Pengendali JDT, Xisco Munoz berkata perlawanan menentang Hiroshima adalah ujian getir dan bangga dengan komitmen tinggi anak buahnya
- Munoz menyifatkan pencapaian tersebut sebagai sejarah baharu untuk kelab dan bola sepak negara
- Munoz mengakui masih ada ruang untuk peningkatan tapi gembira dengan kemampuan bersaing di tahap tertinggi






