Bukti palsu, banduan dibebaskan selepas 46 tahun dipenjara

Bukti palsu, banduan dibebaskan selepas 46 tahun dipenjara


Tokyo: Mahkamah Jepun membebaskan banduan berusia 88 tahun yang menjalani hukuman mati paling lama di dunia selepas mendapati bukti untuk mendakwanya palsu.

Memetik portal BBC, Iwao Hakamada, 88, yang menjalani hukuman mati selama hampir setengah abad, didapati bersalah pada 1968 kerana membunuh majikannya, isteri lelaki itu dan dua anak remaja mereka.

Baru-baru ini perbicaraan kesnya dilakukan semula apabila wujud keraguan penyiasat mungkin menanam bukti yang membawa kepada sabitan atas kesalahan pembunuhan empat kali ganda.

Hakamada menghabiskan 46 tahun untuk menjalani hukuman mati sehingga menjejaskan kesihatan mentalnya.

Kes Hakamada adalah salah satu kisah perundangan terpanjang dan paling terkenal di Jepun dan menjadi perhatian secara meluas apabila kira-kira 500 orang berbaris untuk mendapatkan tempat duduk di bilik mahkamah di Shizuoka, Khamis lalu.

Ketika keputusan itu dijatuhkan, penyokong Hakamada di luar mahkamah bersorak ‘banzai’ seruan Jepun yang bermaksud ‘hurray’.

Hakamada, yang dikecualikan daripada semua pendengaran kerana keadaan mentalnya yang merosot, tinggal di bawah jagaan kakaknya Hideko yang berusia 91 tahun sejak 2014, apabila dia dibebaskan dari penjara dan diberikan hak perbicaraan semula.

Keputusan terbaharu itu mendapati, penyiasat mengganggu bahan bukti dengan meletakkan darah pada pakaian sebelum menyembunyikannya dalam tangki miso, menurut AFP.

Hakamada berkata, perkataan tidak bersalah diputuskan mahkamah adalah sesuatu yang sangat bermakna kerana dia berjuang selama beberapa dekat untuk membersihkan namanya.

“Apabila saya mendengarnya, saya sangat terharu dan gembira, saya tidak dapat berhenti daripada menangis,” katanya kepada media.

Hakamada, bekas peninju profesional yang bekerja di kilang pemprosesan miso pada 1966 apabila mayat majikannya, isteri lelaki itu dan dua anak ditemui daripada kebakaran di rumah mereka di Shizuoka, barat Tokyo.

Keempat-empat mereka mati ditikam.

Pihak berkuasa menuduh Hakamada membunuh keluarga itu sebelum membakar rumah mereka dan mencuri wang tunai 200,000 yen (RM5,800.08).

Hakamada pada mulanya menafikan merompak dan membunuh mangsa, tetapi kemudiannya memberikan apa yang disifatkannya sebagai pengakuan secara paksa berikutan tidak tahan dipukul dan disoal siasat yang berlangsung sehingga 12 jam sehari.

Pada 1968 dia disabitkan dengan pembunuhan dan pembakaran sebelum dijatuhi hukuman mati.

Kisah undang-undang selama beberapa dekad akhirnya menemukan beberapa pakaian yang ditemui dalam tangki miso setahun selepas penahanan Hakamada.

Pakaian itu, yang dikatakan berlumuran darah, digunakan untuk memerangkap Hakamada menjadi ‘kambing hitam’.

Bagaimanapun, selama bertahun-tahun, peguam Hakamada berhujah, asid deoksiribonukleik (DNA) yang diperoleh daripada pakaian itu tidak sepadan dengannya, sekali gus menimbulkan kemungkinan barang itu milik orang lain sebelum mendakwa polis boleh mereka-reka bukti.

Hujah mereka sudah cukup untuk meyakinkan Hakim Hiroaki Murayama, yang pada 2014 menyatakan, pakaian itu bukan milik defendan.

Perbicaraan semula untuk banduan hukuman mati jarang berlaku di Jepun dengan kes Hakamada adalah kelima dalam sejarah Jepun selepas perang.

Bersama-sama dengan Amerika Syarikat, Jepun adalah satu-satunya negara G7 yang masih mengenakan hukuman mati, dengan banduan hukuman mati dimaklumkan tentang hukuman gantung mereka hanya beberapa jam lebih awal.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top