Bukti persatuan sukan orang kurang upaya mampu berdaya saing

Bukti persatuan sukan orang kurang upaya mampu berdaya saing


MSDeaf merangkul Anugerah Khas 2024 pada Majlis Anugerah Sukan Negara pada Selasa.

PERSATUAN Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) berbangga dengan kejayaan merangkul Anugerah Khas 2024 pada Majlis Anugerah Sukan Negara yang berlangsung pada Selasa.

Kejayaan ini membuktikan bahawa persatuan sukan orang kurang upaya juga berpotensi untuk berdaya saing sekiranya diuruskan dengan baik, dan ia merupakan satu langkah awal buat MSDeaf untuk menjadi penanda aras bagi persatuan-persatuan sukan yang lain.

Presiden MSDeaf, Ong Shin Reunn melahirkan rasa syukur atas penghormatan yang diberikan dan berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang dilihat membantu meningkatkan tahap sukan ini.

“Saya bersyukur kerana akhirnya MSDeaf berjaya meraih salah satu anugerah berprestij dalam Anugerah Sukan Negara 2024 ini, sekali gus membuktikan kerajaan Malaysia mengiktiraf usaha-usaha yang telah kami laksanakan bagi memartabatkan sukan dan atlet-atlet pekak negara.

“Kami juga berharap agar pembangunan sukan warga pekak negara dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh dan konsisten, merangkumi pembangunan atlet dari peringkat akar umbi serta memperkasakan program atlet podium pekak yang mampu memenangi pingat untuk negara di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Penasihat MSDeaf, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai melihat anugerah yang diterima ini adalah hasil daripada pendekatan pemasaran yang diberikan oleh persatuan bagi memastikan sukan ini lebih dikenali dan membuka peluang buat penaja untuk menjadi rakan kerjasama.

“Anugerah ini boleh dilihat sebagai kesan daripada tindakan MSDeaf membawa tadbir urus korporat, pengurusan kewangan dan daya tahan kepada pihak persatuan untuk tidak mengharapkan dana kerajaan semata-mata seperti sebelum ini.

“Sudah sampai masanya untuk kita menaikkan taraf kehidupan para atlet pekak ini kerana kita tahu cabaran mereka lebih besar daripada atlet-atlet normal,” ujarnya.

Anugerah tersebut dijangka menjadi pemangkin semangat buat para atlet untuk menghadapi tiga kejohanan utama Sukan Pekak, bermula dengan Sukan Pekak Asia Tenggara di Jakarta pada Ogos sebelum bersaing di Sukan Orang Pekak Malaysia di Kuching pada Oktober dan menutup tahun 2025 dengan kejohanan Sukan Deaflympic Tokyo pada November.

Kapsyen: MSDeaf berbangga dengan kejayaan merangkul Anugerah Khas 2024 pada Majlis Anugerah Sukan Negara.



Source link

OR

Scroll to Top