BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei diingatkan supaya kekal berpijak di bumi nyata meskipun baru sahaja mencipta sejarah muncul juara dunia di Paris, Peracis pada Ahad lalu.
Penganalisis sukan, Mohd Sadek Mustafa menegaskan kejayaan sulung di Kejohanan Dunia 2025 itu hanyalah sebahagian daripada perjalanan panjang menuju misi utama iaitu memburu emas Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
“Perjalanan ke LA28 masih berbaki 24 bulan dan sekurang-kurangnya lapan beregu muda dari China, Jepun, Korea Selatan, Perancis, Denmark, Indonesia dan India bakal menjadi pencabar utama.
“Strategi terbaik ketika ini adalah mengekalkan momentum, meningkatkan ranking untuk elak kumpulan maut serta memastikan bebas daripada kecederaan.
“Kejayaan ini hanyalah satu daripada sembilan ‘plot’ besar menuju misi Olimpik,” katanya kepada Sukan Sinar.
Pada final di Arena Adidas, pasangan negara itu menundukkan beregu nombor dua dunia dari China, Jiang Zhen Bang–Wei Ya Xin, 21-15, 21-14, sekali gus mengulangi momen bersejarah beregu lelaki negara, Aaron Chia–Soh Wooi Yik yang bergelar juara dunia edisi 2022 di Tokyo, Jepun.
Mengulas corak permainan, Sadek yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan UiTM menilai persembahan Tang Jie–Ee Wei jauh lebih matang berbanding gandingan campuran Malaysia sebelum ini.
“Dalam final, beregu China hilang fokus dan game plan Malaysia berjaya dengan banyak aksi drive serta netting, kurang mengangkat bola tinggi ke belakang.
“Penguasaan gelanggang mereka baik dan paling penting, kurang melakukan kesilapan mudah,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan pasangan negara kini berada dalam radar lawan dan sebarang kelemahan bakal diperincikan.
“Mereka kini disenaraikan antara beregu yang wajib ditewaskan. Setiap taktikal dan kelemahan pasti akan dianalisis lawan.
“Bulan madu sudah berakhir, mereka perlu fokus kepada cabaran mendatang,” tegasnya.