surayaroslan@mediaprima.com.my
Putrajaya: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A Samad kekal tenang dan tersenyum selepas keputusan Mahkamah Rayuan, hari ini, tidak memihak kepada mereka apabila diperintah membela diri.
Pada 7 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan pasangan suami isteri itu atas tiga pertuduhan rasuah RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra Bhd, sembilan tahun lalu.
Dengan keputusan mahkamah hari ini, Bung Moktar dan Zizie Izette sekali lagi perlu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk menjawab pertuduhan terhadap mereka.
Ditanya selepas ini mereka terpaksa turun naik ke mahkamah sekali lagi, Bung Moktar sambil tersenyum berkata, mereka sudah bersedia dan akan menghadapinya.
“Kalau tuntutan (perintah mahkamah) kenalah,” katanya ringkas selepas ditemui di pekarangan mahkamah sebaik selesai mendengar keputusan itu.
Zizie Izette yang memakai baju krim dan hitam turut tersenyum di samping suaminya.
Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan mereka pada 7 September 2023.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin.
© New Straits Times Press (M) Bhd