Bunga Raya 15s ‘bedah siasat’ Sri Lanka

Bunga Raya 15s ‘bedah siasat’ Sri Lanka


PENELITIAN terhadap corak permainan pasukan Sri Lanka antara elemen diberikan tumpuan skuad ragbi lelaki Bunga Raya 15 sebelah (15s) menjelang perlawanan playoff Kejohanan Ragbi Asia (ARC) menentang juara Divisyen Satu, Sri Lanka, pada Sabtu

Pengendali Bunga Raya 15s, Mohd Saizul Hafifi Md Noor berkata, pemain-pemain negara meneliti corak-corak permainan pasukan lawan melalui rakam video perlawanan sebelum ini.

“Melalui rakaman video itu, kita harap dapat melihat apa jua kelemahan dan kekuatan pasukan lawan. Selain itu, kita juga dapat mengetahui kekuatan serta kelemahan sendiri.

“Tiada perbezaan ketara berbanding pasukan sebelum ini dan kita harap pemain-pemain dapat menjelmakan taktikal yang dirancangkan pasukan,” katanya.

Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) sebelum ini mempertaruhkan 23 pemain termasuk tiga naturalisasi bagi memantapkan cabaran pasukan dalam aksi penentu untuk kekal dalam saingan Liga Premier ARC sejak 2018 atau turun bermain Liga Divisyen Satu 2025.

Sementara itu, Mohd Saizul memaklumkan bahawa tahap kecergasan pemain-pemain Bunga Raya 15s berada pada tahap terbaik untuk perlawanan berkenaan.

“Alhamdulilah, syukur kondisi dalam kalangan pemain kita juga berada pada tahap terbaik.

“Pemain-pemain juga bebas kecederaan serious atau berat hasil pemantauan selepas sesi latihan.

“Moral pemain-pemain pun dalam keadaan terbaik untuk perlawanan esok petang,” katanya.

Sementara itu, pemain negara, Muhammad Sameer Muhammad Sani Surinder menegaskan mereka memberikan tumpuan kepada aspek fizikal dan mental pada ketika ini.

“Selain itu, kami juga menjaga pemakanan dan lebih tumpuan kepada komunikasi dalam kalangan rakan sepasukan kerana telah lama melakukan persediaan untuk perlawanan ini.

“Kami juga meneliti corak permainan pasukan Sri Lanka ketika berdepan Kazakhstan, yang saya lihat bagus dalam aspek counter attack, antara perkara yang perlu diberikan perhatian,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top