Pemain Bunga Raya negara ketika menentang Kazakhstan aksi Kumpulan B Kejuaraan Ragbi Asia B-20 di Bihar, India, pada Sabtu. Foto Asia Rugby
SKUAD ragbi lelaki Bawah 20 Tahun (B-20) negara meneruskan rentak cemerlang apabila mara ke separuh akhir Kejuaraan Ragbi Asia B-20 di Bihar, India.
Pasukan bimbingan Syed Shazril Syed Mahadzir itu mengharungi cabaran Kumpulan B bersama Kazakhstan, China dan Uzbekistan dengan rekod tanpa kalah.
Bunga Raya B-20 memulakan kempen dengan keputusan seri 17-17 menentang Kazakhstan sebelum bangkit menundukkan China 28-17.
Momentum positif itu diteruskan apabila mereka menutup aksi peringkat kumpulan dengan kemenangan bergaya 17-0 ke atas Uzbekistan.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia mengesahkan tempat ke separuh akhir berdepan Hong Kong, manakala satu lagi aksi menemukan Sri Lanka dan China.

Aksi pemain Bunga Raya negara ketika menentang Kazakhstan dalam perlawanan Kumpulan B Kejuaraan Ragbi Asia B-20 di Bihar, India, pada Sabtu. Foto Asia Rugby
Sementara itu, Syed Shazril melahirkan rasa syukur selepas anak buahnya mengesahkan slot ke separuh akhir Kejuaraan Ragbi Asia B-20 kali ini.
“Pertama sekali, syukur alhamdulillah kerana dengan izin ALLAH, kita berjaya mencapai sasaran utama iaitu berada dalam kelompok empat terbaik.
“Perjalanan ke Bihar kali ini bukan mudah kerana pasukan terpaksa mengharungi perjalanan yang agak jauh dan ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada perlawanan pertama, apabila pemain kelihatan keletihan.
“Namun, saya bangga kerana semua pemain memberikan yang terbaik. Mereka bangkit daripada keputusan seri pada aksi pembukaan sebelum mencatat kemenangan pada dua perlawanan seterusnya untuk memastikan tempat di kelompok empat terbaik. Alhamdulillah, syukur,” katanya.