Bunga Raya B-20 palu gendang perang

Bunga Raya B-20 palu gendang perang


SKUAD ragbi tujuh sebelah lelaki negara Bawah 20 Tahun (B-20) bertekad menebus kekecewaan edisi lalu apabila turun dengan persiapan lebih mantap menjelang Kejohanan Ragbi Asia 7s (AR 7s) B-20 2025 yang bermula Sabtu di Bihar, India.

Bersandarkan pengalaman muncul naib juara edisi 2023 di Kathmandu, Nepal, pasukan kendalian Syed Shazril Syed Mahadzir itu kini dalam misi memburu kejayaan lebih besar apabila diundi dalam Kumpulan B bersama Kazakhstan, China dan Uzbekistan.

Menurut Syed Shazril, persiapan kali ini lebih menyeluruh merangkumi aspek fizikal, mental dan taktikal dengan fokus utama diberikan kepada sistem pertahanan berstruktur dan kekuatan fizikal pemain.

“Kita tekankan prinsip pertahanan menyeluruh agar pasukan lawan tidak memegang bola terlalu lama.

“Dalam masa sama, pemain menjalani latihan bebanan tiga kali seminggu memperkukuh otot badan,” katanya kepada Sukan Sinar.

Beliau turut menekankan pentingnya setiap pemain memahami serta mematuhi pelan permainan yang telah dirangka, selain bersedia dari segi emosi dan mental bagi menempuh cabaran di peringkat kumpulan.

“Pengajaran paling penting daripada edisi lalu ialah perlunya disiplin dalam melaksanakan perancangan taktikal. Pemain juga perlu lebih bijak membaca corak permainan lawan,” katanya.

Selain faktor teknikal, Syed Shazril turut mengambil kira elemen persekitaran seperti perubahan cuaca, ketinggian lokasi serta kondisi padang yang dijangka berbeza daripada fasiliti latihan mereka di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI).

Skuad Bunga Raya lelaki negara yang mengalas cabaran dalam kejuaraan Ragbi Asia 7s 2025 di Bihar, India yang bermula pada 9 hingga 10 Ogos ini. Foto KRM

“Kami telah melaraskan jadual latihan mengikut masa perlawanan sebenar berdasarkan edisi terdahulu. Ini penting supaya pemain lebih bersedia dari segi suhu, pencahayaan dan keadaan padang di Bihar,” katanya.

RAGBI ASIA B-20

(9 hingga 10 Ogos 2025, Bihar, India

JADUAL PERLAWANAN

Kumpulan B

(9 Ogos Sabtu)

Malaysia lwn Kazakhstan, 12.15 tengah hari

Malaysia lwn China, 3.35 petang

Malaysia lwn Uzbekistan, 6.55 petang

Penentuan Tempat

(10 Ogos, Ahad)

Separuh Akhir Plate (5/8) 12 tengah hari

Separuh Akhir Plate (5/8) 12.25 tengah hari

Separuh Akhir Cup (1/4) 12.50 tengah hari

Separuh Akhir Cup (1/4) 1.15 petang

Final Cup, 7.30 malam

INFO

Edisi Nepal 2023

Naib juara

Malaysia 14- 19 Hong Kong

Edisi Uzbekistan 2022

Nombor tiga

Malaysia 26 -12 India

Edisi Laos 2019

Nombor lima

Malaysia 57 – 14 Korea Selatan

Edisi Hong Kong 2018

Nombor lapan

Malaysia 14 – 24 China



Source link

OR

Scroll to Top