Bunuh kerana cinta ditolak: Pekerja pembersihan didakwa membunuh Zulkifli dan Zulaila

Bunuh kerana cinta ditolak: Pekerja pembersihan didakwa membunuh Zulkifli dan Zulaila



am@hmetro.com.my

Georgetown: Pekerja pembersihan di sebuah kilang didakwa hari ini, atas dua pertuduhan membunuh di Jalan Lengkok Angsana, Ayer Itam di sini, Khamis lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan ke atas Muhammad Farhan Izzuddin Rosman, 32, dibacakan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.

Prosiding kes itu dijalankan di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, berikutan tertuduh sedang menerima rawatan di hospital berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan bunuh hingga menyebabkan kematian ke atas Zulkifli Ibrahim, 62.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan lif, Blok 1 Sri Ivory Apartment, Jalan Lengkok Angsana, Ayer Itam dalam daerah Timur Laut, Pulau Pinang antara jam 12.54 tengah hari hingga 1.25 tengah hari, 7 November lalu.

Manakala pertuduhan kedua, Muhammad Farhan Izzuddin didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Siti Zulaila Zulkifli, 30, di lokasi dan waktu yang sama.

Kedua-dua pertuduhan terhadap tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun atau tidak lebih 40 tahun serta tidak kurang 12 kali sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Darrshini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret kemudian menetapkan 15 Januari depan bagi sebutan semula kes.

Terdahulu, Nadratun tiba di pekarangan HPP pada jam 11.38 pagi dan hadir sama ialah Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintendan Azrul Azizan Mat Rawi.

Sebelum ini Harian Metro melaporkan kejadian menimpa dua beranak itu yang maut akibat ditikam seorang lelaki dalam kejadian di hadapan lif sebuah pangsapuri di Ayer Itam, di sini.

Insiden itu dipercayai berpunca akibat mangsa wanita dikatakan menolak cinta suspek.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan baru pulang dari tempat kerjanya sebelum didatangi suspek bersenjatakan pisau dan menikam mangsa.

Bapa mangsa yang menyedari kejadian berkenaan cuba meleraikan tindakan suspek terhadap anak perempuannya namun dia juga turut ditikam.

Difahamkan, sekurang-kurangnya enam kesan tikaman dikesan pada mayat kedua-dua mangsa.

Kedua-dua beranak itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Tanjong Tokong, di sini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top