Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my
Sekitar enam bulan lalu, band rock Barbarik dianggotai JoBranko (gitar), Muss (penyanyi), Rozaimi (bass) dan Ainol (dram) tampil dengan album sulung mereka berjudul Peluru Cokelat.
Barbarik bekerja keras mempromosikan album terbabit dengan mengadakan persembahan di dua lokasi iaitu Hard Rock Cafe Kuala Lumpur dan Hard Rock Cafe Melaka bagi memberitahu peminat kewujudan album ini.
JoBranko berkata, kehadiran penonton yang menggalakkan untuk kedua-dua persembahan ini, meniup semangat Barbarik untuk terus berkarya.
“Saya pertama kali rasa ‘benda-benda’ begini. Peminat yang datang semua menyanyi lagu baharu. Saya rasa ia petanda baik walaupun jualan dia tak macam dulu.
“Tapi, kami kena buat ‘benda’ ini supaya nampak kami serius. Setakat ini sambutannya pada saya dikira sukses jugalah album ini. Kami ada ‘benda’ nak cerita.
“Kami boleh bergerak lagi ke depan dan kembangkan kami punya karya. Kami lancarkan dengan enam muzik video sekali. Kami buat sajalah yang orang tak buat,” katanya.
Muss pula berkata, ini bukan masa untuk berfikir terutama seperti dulu di mana penghasilan album fizikal yang berbeza ‘vibe’nya.
“Sekarang bukan masa orang buat album, pasarkan dan jual macam dulu. Sekarang semua dah digital. Tapi, kami masih keluar dengan ada bentuk fizikal dan dengan tambahan USB.
“Kami terpaksa ekstra sebab sekarang dah berbeza. Memang asalkan ‘gamble’, itu kita fikir boleh. Memang susah sebab tak ada artis yang ada rancang nak buat album, nak pasarkan. Nak buat macam dulu.
“Takkan ada lagi, tapi kami cuba. Ini saja salah satu cara yang maknanya Barbarik nampak ada kemajuan. Jadi, kami cuba dan kami tengok, okeylah sukses walaupun tak macam dulu,” katanya.
Menurutnya, dia puas hati melihat maklum balas daripada peminat kerana kalau orang lain buat, belum tentu lagi boleh jadi.
“Ia ibarat kalau tembak, kita tembak keliling. Kena yang mana satu tak tahu,” katanya penuh mendalam.
JoBranko yang sudah berpengalaman hampir 40 tahun dalam industri muzik berkata, mereka tidak boleh mengikut persepsi orang mengatakan industri ini semakin merudum.
“Kami tak boleh buat macam itu. Kami kena buat industri ini macam okey. Kami terpaksa buat benda ini supaya ia ‘keep on track’. Kalau tak semua macam rasa, muzik rock dah macam ini.
“Kami terpaksa hasilkan satu format baru yang kami rasa susah untuk macam kami punya ‘batch’ ini. Nak hasilkan satu produk yang kira kena untuk masa sekarang.
“Kami terpaksa menggunakan format lama dan sedikit campuran dengan zaman digital dan kami tengok macam mana ‘benda’ ini jadi,” katanya.
Mengulangi kenyataannya, Muss sekali lagi berkata, dia berpegang pada konsep tembak keliling dan banyak sudut untuk mendapatkan hasil.
“Kemungkinan daripada banyak itu, kena dua hingga tiga sasaran pun kami dah rasa seronok. Ia lebih baik daripada kami hanya ‘gamble’ satu tembakan saja,” katanya.
Ditanya persiapan menjelang tarikh istimewa Konsert Peluru Cokelat di Zepp Kuala Lumpur pada 28 Jun depan, mereka memaklumkan ia sudah dibuat awal sebelum ini.
“Kelainan dia tentu selalu ‘benda’ yang orang tak jangka, kami buat contoh kali ini ‘opening’ konsert berbeza. Peminat akan tengok ‘benda’ yang keras.
“Orang dah tahu kalau pembuka konsert mesti macam ini, mesti buka tirai begini. Kali ini ia akan lain. Dua minit setengah itu ke tiga minit, orang akan diam tertanya-tanya apa ‘benda’ nak berlaku,” kata JoBranko.
Muss berkata, pemikiran dan cara kerja JoBranko berbeza dan dia memahaminya.
“Kalau biasa bekerja dengan JoBranko, dia bukan seorang yang buat kerja ‘cincai’. Dia tak ada nak pergi konsert, aku main aku balik.
“Dia nak buat satu ‘benda’ jadi satu barang,” katanya.
Perkembangan terbaru yang sekali lagi mengujakan peminat, Barbarik kini ditawarkan oleh Cromok untuk bekerjasama dalam satu konsert.
© New Straits Times Press (M) Bhd