'Bunyi bom begitu kuat.. syukur kami sempat menyelamatkan diri'

'Bunyi bom begitu kuat.. syukur kami sempat menyelamatkan diri'



am@hmetro.com.my

Rantau Panjang: Empat warga Malaysia dikejutkan dengan letupan bom dan tembakan ketika berbuka puasa di pekan Golok, Thailand, hari ini.

Sarina Abdullah, 38, berkata, kejadian berlaku kira-kira 7.15 malam (waktu Thailand) ketika dia bersama tiga rakan selesai makan dan mahu bergerak pulang ke Rantau Panjang.

Katanya, mereka juga baru melepasi kawasan terbabit apabila letupan berlaku kerana ia laluan untuk keluar ke pintu sempadan berdekatan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.

“Bunyi bom begitu kuat sehingga kami panik sebelum dibantu oleh beberapa penunggang motosikal tambang yang menyuruh kami segera ke ICQS kerana kejadian berbalas tembakan dan bom kedengaran.

“Ini adalah pengalaman pertama dan ia sangat mendebarkan. Padahal baru sahaja kami menikmati suasana berbuka puasa dan keadaan aman dengan ramai orang.

“Kami bersyukur kerana ketika kejadian, kami sudah hampir berada di pintu sempadan dan sempat menyelamatkan diri,” katanya.

Sarina berkata, dia mendapatkan maklumat semasa melalui perkongsian di Facebook, selain mengakui kawasan terbabit insiden berdekatan kedai makan tempat mereka berbuka.

Sementara itu, penduduk yang tinggal di sempadan berdekatan Sungai Golok, Fatin Syahira Othman, 33, berkata, dia terkejut mendengar bunyi letupan yang sangat kuat sehingga rumahnya terasa bergegar.

“Saya sedang mengambil wuduk terkejut dengan bunyi itu dan sudah dapat mengagak bahawa ia adalah letupan bom kerana kesannya agak luar biasa.

“Kami yang tinggal berdekatan Sungai Golok bimbang keselamatan (terancam) memandangkan bunyi terasa dekat dan hanya berada di rumah sahaja selepas dapat maklumat turut ada kejadian berbalas tembakan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top