Hujung minggu ini, The Curve, Mutiara Damansara bakal menjadi tumpuan utama buat peminat burger apabila Burger Festival 2025 berlangsung dari 7 hingga 9 November.
Sepanjang tiga hari, kawasan The Street akan dipenuhi dengan aroma grill yang memukau, muzik live, dan pelbagai aktiviti menyeronokkan yang dianjurkan oleh The Curve.
Antara jenama terkenal yang turut serta dalam festival ini termasuk Richeese Factory, JnC Burger, Double Cheese Please, dan Ten KL.
Tidak ketinggalan barisan Burger Legends hasil kolaborasi bersama ieatBurgers by FriedChillies yang menampilkan nama besar seperti Pitboy BBQ, Pak Nik Burger, Mean Mince, Bones Burger, Kaw Kaw Burger, Burger Bakar Besar dan Burn Bite’s.

Pelbagai jenis burger akan ditawarkan, daripada gaya jalanan hingga burger pastrami antarabangsa dengan harga antara RM10 hingga RM40.
Lebih menarik, beberapa vendor menawarkan potongan harga sehingga 30 peratus sepanjang festival, jadi pengunjung digalakkan datang dengan perut kosong!
Bagi yang gemar bersaing, pelbagai cabaran menarik menanti sepanjang acara ini. Antara yang wajib dicuba termasuk cabaran Eat Like A King anjuran Richeese Factory bagi melihat siapa paling banyak mampu makan burger, The Great Burger Battle oleh Burger Bakar Besar untuk mencari siapa paling pantas menghabiskan Giant Burger, serta Burner Burger Challenge oleh Pak Nik Burger khas buat mereka yang tahan pedas.

Festival ini bukan hanya untuk kaki burger, tapi juga mesra keluarga. Pengunjung boleh menyertai pelbagai aktiviti menarik seperti Little Chef Clay Art Workshop, Colour My Burger Contest, serta pelbagai persembahan pentas dan aktiviti untuk kanak-kanak.
Pendek kata, kalau anda peminat makanan sedap, muzik live dan suasana santai, Burger Festival 2025 memang destinasi wajib hujung minggu ini. Datanglah bersama rakan atau keluarga kerana keseronokannya dijamin untuk semua!
Burger Festival 2025 akan berlangsung dari 7 hingga 9 November 2025, bermula jam 10 pagi hingga 10 malam di The Street, The Curve, Mutiara Damansara. Acara ini dianjurkan oleh the Curve dan dikelolakan oleh AK Events.






