asyikin.mat@hmetro.com.my
Aktiviti ‘memburu masjid’ untuk solat Tarawih pada bulan Ramadan oleh generasi muda kini menjadi trend di seluruh negara.
Setiap malam, mereka memilih masjid berbeza untuk merasai suasana, keindahan seni bina dan kelunakan bacaan imam Tarawih yang berlainan.
Ada juga yang melakukan qiamullail di masjid sepanjang Ramadan, terutama pada 10 malam terakhir.
1- Masjid TNB Bangsar
Masjid yang sentiasa tular setiap kali Ramadan kerana ia menjadi satu daripada banyak masjid di seluruh negara yang menyediakan juadah berbuka puasa kepada orang ramai setiap tahun.
Ini menjadikannya destinasi pilihan orang ramai untuk berbuka dan bertarawih.
Reka bentuknya yang menarik, kemudahan vdan keselesaan menjadi satu daripada tarikan orang ramai untuk datang beribadat.
2- Masjid Asy-Syakirin KLCC
Masjid ikonik ini terletak di tengah Kuala Lumpur. Ia menyediakan parkir yang mudah diakses bagi memudahkan orang ramai datang.
Ia juga mampu menampung ribuan jemaah dan sering menjadi tumpuan umat Islam untuk menunaikan solat dan pelbagai aktiviti keagamaan lain.
Menariknya masjid ini ialah seni binanya berkonsepkan moden dan gaya kontemporari serta berlatar belakangkan panorama Menara Berkembar Petronas.
3-Masjid Putra, Putrajaya
Masjid ini turut menjadi tumpuan umat Islam dari dalam dan luar negara untuk menunaikan solat Tarawih.
Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang Ramadan termasuk tadarus al-Quran.
Pengisian ini memberi peluang kepada jemaah untuk meningkatkan amal ibadat dan memahami penghayatan Ramadan secara lebih mendalam.
4-Masjid Wilayah Persekutuan
Satu daripada masjid pilihan jemaah untuk menunaikan solat Tarawih.
Masjid ini turut mengundang imam jemputan dari luar negara untuk memberi kelainan kepada jemaah.
Ia juga menyediakan khidmat penjagaan anak-anak khas sepanjang solat Tarawih yang memudahkan ibu bapa solat dengan khusyuk selain keselamatan anak terpelihara.
5- Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya
Turut dikenali sebagai masjid ‘hijau’ pertama di negara ini.
Masjid ini mampu memuatkan 8,000 jemaah dalam satu masa, dapat memberi keselesaan kepada jemaah dari luar Cyberjaya hadir untuk solat Tarawih.
Masjid menyediakan pembahagian zon parkir mengikut rakaat Tarawih untuk keselesaan jemaah dan elak kesesakan.
© New Straits Times Press (M) Bhd





