Tokyo: Seorang lelaki berusia 26 tahun dari Funabashi, Jepun, ditangkap kerana mengisi botol plastik teh dengan air kencing dan meletakkannya semula di rak kedai serbaneka, lapor MS News.
Menurut laporan Yomiuri Shimbun, kejadian itu berlaku pada 26 Mei lalu.
Difahamkan, seorang pelanggan membeli botol teh yang kelihatan biasa, tetapi kemudian menyedari bau kuat dan tidak menyenangkan ketika cuba meminumnya.
Susulan itu, pelanggan itu segera melaporkan masalah berkenaan kepada kakitangan kedai yang kemudian menghubungi polis.
Apabila disoal, suspek mengakui melakukan perbuatan itu kerana berasa tertekan di tempat kerja dan mahu ‘melepaskan tekanan’.
Dia kemudian mendakwa tindakan itu hanya bersifat gurauan yang tidak membahayakan tetapi mengakui ia menjadi serius apabila kedai terpaksa memeriksa stok dan menyebabkan operasi terganggu.
Dalam pada itu, lelaki itu kini berdepan tuduhan mengganggu perniagaan secara penipuan dan polis sedang mempertimbangkan tuduhan tambahan.
Tindakannya mencetuskan kemarahan orang ramai dan ramai terkejut dengan tahap kurang bijak serta kurang hormat yang ditunjukkannya.
Pihak berkuasa kini sedang mengkaji semula polisi untuk mengelakkan kejadian serupa berlaku pada masa hadapan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






