PENGANALISIS sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli menyifatkan sasaran kontinjen Malaysia untuk membawa pulang tujuh pingat dari temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2025 di Rhein Ruhr, Jerman sebagai satu cabaran besar yang sukar dicapai berdasarkan senario semasa.
Menurut Pekan, kehilangan beberapa acara utama yang menyumbang pingat pada edisi lalu seperti wushu dan terjun menjadi kekangan utama buat kontinjen negara dalam misi menyamai atau mengatasi pencapaian bersejarah di Chengdu, China pada 2023.
“Secara jujur, saya melihat situasi kali ini tidak begitu memihak kepada kita. Sasaran tujuh pingat tanpa mengira warna memang satu hasrat yang baik, tetapi perlu realistik dengan kemampuan semasa serta senarai acara yang dipertandingkan.
“Di Chengdu, kita menang pingat emas sulung negara dalam sejarah penyertaan Universiade menerusi wushu. Malangnya, acara tersebut tidak dipertandingkan kali ini. Terjun juga tiada. Jadi, ruang untuk mengutip pingat agak terbatas,” katanya kepada Sukan Sinar.
Sebagai rekod, Malaysia akan menghantar seramai 93 wakil ke Universiade 2025 termasuk 64 atlet diiringi 30 pegawai, yang akan bertanding dalam enam jenis sukan iaitu olahraga, badminton, taekwondo, memanah, gimnastik artistik dan renang.
Temasya yang akan berlangsung dari 16 hingga 27 Julai ini menyaksikan kontinjen negara berusaha mengulangi pencapaian terbaik di Chengdu dua tahun lalu dengan kutipan satu pingat emas, satu perak dan lima gangsa, rekod terbaik sejak penyertaan Malaysia.
Tambah Pekan yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), sandaran utama Malaysia kali ini hanya terarah kepada acara badminton, manakala harapan untuk pungutan pingat dari sukan lain seperti taekwondo memerlukan kejutan dan prestasi luar jangka daripada atlet.
“Saya tidak menafikan semangat dan keupayaan atlet kita, tetapi jika berdasarkan statistik dan prestasi semasa, kita perlu akui sasaran tujuh pingat kali ini adalah sukar untuk direalisasikan.
“Namun, segala-galanya boleh berlaku dalam temasya seperti ini. Cuma saya mengingatkan agar harapan yang diletakkan tidak menjadi tekanan berlebihan kepada atlet muda kita,” katanya.