Muhammad Dhuha akan menggalas cabaran negara dalam saingan Kejohanan Akuatik Remaja Dunia di Romania bulan depan. FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB.
CABARAN sukar menanti perenang muda sensasi, Muhammad Dhuha Zulfikry yang perlu membahagikan masa antara tuntutan pelajaran dan karier sebagai atlet negara.
Pemenang Anugerah Atlet Muda Terbaik Persatuan Penulis-Penulis Sukan (SAM) 2024 itu bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), selain perlu mengharungi latihan berintensiti tinggi.
Ia sebagai persediaan untuk menggalas cabaran negara pada Kejohanan Akuatik Remaja Dunia di Romania Ogos ini dan Sukan SEA Thailand 2025 pada Disember.
Perenang Kuala Lumpur itu sebelum ini juga dilema sama ada mahu menyertai pertandingan di peringkat remaja atau Kejohanan Dunia.
Namun atas nasihat jurulatih beliau memberi tumpuan penuh kepada Kejohanan Remaja Dunia yang disifatkan lebih realistik untuk mencapai sasaran.
“Kejohanan tersebut berlangsung secara berturut-turut, jadi saya perlu memilih fokus utama.
“Jurulatih juga menyarankan agar saya memberikan tumpuan kepada Kejohanan Remaja Dunia sahaja,” katanya.
Walaupun persiapan fizikal berjalan lancar dengan sesi latihan pagi dan petang, Muhammad Dhuha secara jujur mengakui bahawa aspek mentalnya sedikit terganggu akibat jadual yang padat.
“Daripada segi mental, ia agak terganggu kerana saya perlu fokus kepada SPM, Sukan SEA dan Kejohanan Remaja Dunia pada masa yang sama.
“Ia agak sukar. Latihan mengambil masa yang lama dan saya hanya dapat belajar jika ada masa terluang, tetapi saya akan cuba yang terbaik,” katanya.
Walaupun sukar, atlet berusia 17 tahun itu bertekad untuk melakukan yang terbaik dalam kedua-dua bidang tersebut.
“Sasaran saya adalah layak ke peringkat akhir dahulu, selepas itu baru fikir dan fokus untuk naik podium,” katanya.
Muhammad Dhuha akan menyertai empat acara iaitu 200 meter (m), 400m, 800m dan 1500m gaya bebas.