Hari ini, membesarkan anak bukan lagi sekadar menyediakan makan minum, pakaian dan sekolah. Ibu bapa muda daripada generasi Millennials terpaksa berdepan realiti baharu yang jauh lebih rumit. Anak-anak mereka bukan sekadar membesar di taman permainan atau padang sekolah, tetapi membesar di alam maya yang sentiasa terbuka 24 jam. Seawal usia tujuh tahun bahkan lebih awal, ada yang sudah pandai menggunakan TikTok, YouTube serta pelbagai aplikasi media sosial. Seawal sekolah rendah, anak-anak sudah mengenali dunia permainan dalam talian, aplikasi pesanan segera, malah kecerdasan buatan (AI). Walaupun perkara-perkara ini bersifat smart, tetapi ia disifatkan oleh Mo Gawdat, bekas Ketua Pegawai Perniagaaan Google sebagai scary smart.
Jika dahulu ibu bapa risau anak jatuh ketika memanjat pokok atau basah kuyup bermain hujan, kini kerisauan itu bertukar menjadi rasa cemas melihat anak leka dengan skrin telefon berjam-jam. Dunia luar mungkin lebih selamat, tetapi dunia digital yang mereka masuki penuh risiko baharu yang tidak mudah dikawal. Ini cabaran sebenar yang menghimpit generasi Millennials dalam membesarkan anak-anak daripada generasi Z, Alpha dan Beta.
Millennials sebenarnya adalah generasi yang hebat. Mereka membesar dalam transisi dunia analog ke digital, mengharungi cabaran kos sara hidup yang semakin tinggi, berjuang untuk memiliki rumah dan pekerjaan stabil, sambil menanggung beban sebagai generasi sandwich yang perlu menjaga ibu bapa yang berusia serta memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan dan kasih sayang secukupnya. Mereka tidak pernah meminta simpati, tetapi hakikatnya, mereka sering berkorban demi keluarga. Cabaran mereka sangat besar dalam kehidupan yang keras.
Cabaran ini tidak boleh dipandang ringan. Apa yang kita perlukan sekarang ialah sokongan menyeluruh untuk keluarga muda. Dasar ekonomi yang lebih mesra keluarga perlu digerakkan agar mereka tidak terbeban dengan kos perumahan, pendidikan dan penjagaan anak. Program literasi digital untuk ibu bapa perlu diperkasakan khususnya di peringkat kejiranan perumahan dan kampung supaya mereka bukan sahaja mampu mengawal penggunaan gajet anak-anak, tetapi juga memahami dan mengurus dunia digital yang anak-anak sedang teroka. Jurang antara tiga empat generasi ini juga penting untuk difahami dan diberikan kefahaman agar mereka boleh saling faham memahami, saling hormat-menghormati dan saling bekerjasama membina keluarga dan masyarakat yang bahagia.
Lebih penting daripada itu, kita mesti memperkukuh pendidikan informal. Pendidikan tidak boleh terbatas dalam bilik darjah semata-mata. Anak-anak perlu dibesarkan dalam suasana yang kaya dengan nilai, kasih sayang dan interaksi manusia. Aktiviti keagamaan, kemasyarakatan, sukan, seni dan budaya ialah ruang berharga untuk membina jati diri. Melalui pendidikan informal, anak-anak belajar menghargai disiplin, hormat orang tua, menjaga maruah diri dan menjadi manusia yang seimbang. Nilai-nilai ini tidak akan mampu ditanam oleh kecerdasan buatan atau media sosial, sebaliknya hanya boleh datang daripada keluarga, komuniti dan masyarakat sekeliling. Ini juga elemen yang mendasari Malaysia Madani di mana masyarakat didambakan ialah masyarakat yang seimbang antara pembangunan fizikal dengan pembangunan kemanusiaan.
Sokongan komuniti juga perlu dikuatkan. Tidak ada satu keluarga yang mampu membesarkan anak-anak mereka seorang diri. Sekolah, NGO, masjid dan institusi masyarakat, malah jiran tetangga memainkan peranan penting. Kita mesti menghidupkan kembali semangat ‘kampung’ dalam erti kata saling peduli dan saling membantu. Ia mengingatkan kita kepada pepatah Inggeris yang berbunyai It takes a village to raise a child.
Kita tidak mahu anak-anak daripada generasi Z, Alpha dan Beta menjadi generasi yang hanya bijak teknologi, tetapi kosong jiwa dan nilai. Kita mahu mereka membesar sebagai generasi yang berani, berakhlak tinggi, berakar pada budaya sendiri dan pada masa yang sama mampu bersaing di pentas dunia. Millennials telah melakukan yang terbaik dengan daya yang ada. Kini tiba masanya kita semua, kerajaan, institusi dan masyarakat, bersama-sama mendukung mereka agar cabaran yang dihadapi tidak menjadi beban, sebaliknya menjadi peluang untuk membina generasi yang lebih hebat daripada sebelumnya.
Penulis Ahli Dewan Negara
© New Straits Times Press (M) Bhd