Fu Sheng ketika menentang Yu Liu dalam perlawanan suku akhir Kejuaraan Berpasukan Campuran Remaja Dunia di Pusat Kecemerlangan Nasional, Guwahati, India pada Khamis. FOTO: BAM
CABARAN skuad badminton muda negara dalam Kejuaraan Berpasukan Campuran Remaja Dunia 2025 berakhir selepas tewas 0-2 kepada juara 14 kali, China, dalam aksi suku akhir di Pusat Kecemerlangan Nasional, Guwahati, India.
Set pertama, China mempamerkan kekuatan menyeluruh apabila pemain perseorangan lelaki Xiao Gao Bo membuka tirai kemenangan menewaskan Lim Boon Le 9–4.
Kejayaan itu diteruskan pasangan beregu campuran Chen Jun Ting–Cao Zi Han yang menundukkan Loh Zi Heng–Aqilah Ramdan 18–7.
Beregu lelaki Chen Jun Ting–Liu Jun Rong menambah mata ketiga apabila mengatasi Damien Ling–Shazmir Shahrul 27–17 sebelum perseorangan wanita Xu Wen Jing menewaskan Oo Shan Zi 36–22.
China melengkapkan kemenangan 45–36 menerusi beregu wanita Cao Zi Han–Chen Fan Shu Tian ke atas Low Zi Yu–Aqilah Ramdan.
Set kedua, Malaysia cuba bangkit apabila Ayu Fu Sheng membuka mata kemenangan menewaskan Yang Ming Yu Liu 9–7 diikuti gandingan Tan Zhi Yang–Nicole Tan yang menewaskan Chen Jun Ting–Cao Zi Han 18–15.
Namun, China kembali menguasai permainan apabila Chen Jun Ting–Liu Jun Rong menang ke atas Damien Ling–Shazmir Shahrul 27–22.
Pemain perseorangan wanita Xu Wen Jing sekali lagi menjadi pemusnah apabila menundukkan Oo Shan Zi 36–32 sebelum beregu wanita Cao Zi Han–Chen Fan Shu Tian menoktahkan kemenangan 45–43 sekali gus memastikan kemenangan mutlak buat China.
Kekalahan itu sekali gus menamatkan rentetan pingat podium Malaysia dalam kejohanan tahunan tersebut, selepas meraih gangsa pada dua edisi terdahulu pada 2023 dan 2024.
Bagaimanapun, skuad muda negara tetap boleh berbangga dengan semangat juang tinggi yang ditampilkan, terutama dalam set kedua di bawah format baharu 45 mata secara relay.
Walaupun tersingkir, skuad muda negara yang beraksi dengan disiplin dan semangat kental bakal meneruskan perjuangan dalam saingan penentuan tempat kelima hingga kelapan,.