JDT mencipta sejarah mara ke suku akhir ACLE. FOTO: JDT
[DIKEMAS KINI] KEJAYAAN Johor Darul Ta’zim (JDT) melayakkan diri ke pusingan suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) bakal menyajikan cabaran serta pengalaman terbaik buat skuad Harimau Selatan itu yang bakal bertembung dengan pasukan gergasi dari Asia Barat.
JDT mengesahkan kemaraan berprestij itu selepas menundukkan wakil Jepun, Sanfrecce Hiroshima dengan keputusan agregat 3-2, pada Rabu.
Meskipun tewas tipis 0-1 pada aksi kedua Pusingan 16 terbaik di Stadium Edion Peace Wing Hiroshima, skuad Harimau Selatan itu itu tetap mara berbekalkan kelebihan selesa yang diraih selepas mencatat kemenangan meyakinkan 3-1 pada pertemuan pertama di Stadium Sultan Ibrahim, 4 Mac lalu.
Selepas melepasi halangan kelab dari Asia, JDT kini dalam fasa menanti siapa lawan dari Asia Barat yang akan menjadi ujian getir mereka di pentas suku akhir.
Antara pencabar terkuat yang berpotensi menjadi lawan JDT termasuklah tiga gergasi dari Arab Saudi iaitu Al-Hilal, Al-Ahli dan Al-Ittihad.
Turut berada dalam senarai pasukan elit berkenaan ialah Al-Sadd dan Al-Duhail dari Qatar, Shabab Al-Ahli (Emiriah Arab Bersatu) serta wakil Iran, Tractor.
Bagaimanapun, kem Harimau Selatan terpaksa menanti lebih lama untuk mengetahui lawan sebenar yang akan diundi nanti.
Ia kerana keputusan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang terpaksa menangguhkan perlawanan Pusingan 16 bagi zon Asia Barat susulan situasi ketegangan dan peperangan yang sedang melanda rantau berkenaan ketika ini.
Pastinya, pertembungan dengan kelab bernilai jutaan ringgit dari liga Arab itu nanti akan menjadi ujian sebenar tahap kemampuan wakil tunggal Malaysia itu, selain menawarkan pendedahan serta pengalaman paling berharga buat JDT dalam merealisasikan impian mencipta sejarah lebih gemilang di pentas tertinggi bola sepak Asia.
Ringkasan AI
- KEJAYAAN Johor Darul Ta’zim (JDT) melayakkan diri ke pusingan suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit JDT menundukkan wakil Jepun, Sanfrecce Hiroshima dengan keputusan agregat 3-2 JDT bakal bertemu dengan pasukan gergasi dari Asia Barat di pusingan suku akhir Antara pencabar yang mungkin ialah Al-Hilal, Al-Ahli dan Al-Ittihad dari Arab Saudi, Al-Sadd dan Al-Duhail dari Qatar, Shabab Al-Ahli dari Emiriah Arab Bersatu dan wakil Iran, Tractor Undian lawan JDT di pusingan suku akhir ditangguhkan oleh AFC disebabkan ketegangan dan peperangan di Asia Barat





