Sebahagian aksi suku akhir Orleans Masters, Pearly-Thinaah menentang Yi Fan-Shu Xian pada Jumaat. Foto: Agensi
IMPIAN indah beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah, bertukar menjadi mimpi ngeri di Orleans Masters apabila disingkirkan di peringkat suku akhir pada Jumaat.
Pilihan kedua kejohanan itu dikejutkan kemunculan gandingan baharu dari China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian, yang tampil dengan permainan bertenaga dan penuh taktikal di Palais des Sports.
Yi Fan-Shu Xian, yang kini menjadi ancaman baharu di pentas antarabangsa, berjaya menafikan kemaraan Pearly-Thinaah dengan kemenangan straight set 21-15, 21-19 dalam tempoh 40 minit.
Kekalahan ini bukan sahaja memusnahkan impian Pearly-Thinaah untuk mara ke separuh akhir buat kali ketiga berturut-turut musim ini, malah juga mesej jelas bahawa saingan untuk mereka semakin sengit dengan kehadiran pilihan ketujuh tersebut.
Sebelum ini, Pearly-Thinaah berjaya mengesahkan tempat di suku akhir selepas berhempas pulas menewaskan beregu Korea Selatan, Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo, dalam pertarungan sengit selama 68 minit dengan keputusan 22-20, 11-21, 21-14.
Satu lagi wakil negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing turut berakhir apabila tewas kepada gandingan dari Korea Selatan, Kim Hye-jeong-Kong Hee-yong, 13-21, 11-21 dalam masa 39 minit.
Sementara itu, beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, terpaksa menarik diri menentang wakil Indonesia, Rehan Kusharjanto-Gloria Widjaja, selepas Su Yin mengalami kecederaan buku lali.






