hartini@hmetro.com.my
MENERUSI kebangkitan ‘fine dining,’ trend kulinari global dan pengaruh media sosial juga yang tidak dapat dinafikan, bidang pembuatan pastri semakin menarik perhatian golongan anak muda di negara ini yang ingin meneroka kerjaya kreatif dan di luar kebiasaan.
Di sebalik sajian enak dan menambat selera tersembunyi kisah ketelitian, ketahanan, dan kreativiti yang berterusan insan bergelar cef.
Chef Pai Hau umpamanya, salah seorang alumni Academy of Pastry & Culinary Arts (APCA) dan cef pastri berpengalaman di hotel bertaraf lima bintang, membawa kita mengintai kehidupan di sebalik tabir seorang cef pastri termasuk peranan yang mencabar tetapi menyeronokkan.
“Saya berasa gembira apabila melihat lebih ramai anak muda menunjukkan minat terhadap seni kulinari.
“Media sosial memainkan peranan besar dalam menjadikan bidang ini lebih menarik dan mudah didekati.
“Namun, di sebalik segala keindahan, terdapat banyak kerja keras dan dedikasi yang sering tidak terlihat,” kongsi Pai Hau.
Katanya, cef pastri juga bekerja dalam tempoh masa yang panjang, selalunya bermula sebelum matahari terbit, di dapur yang panas dan sibuk.
“Kerjaya ini memerlukan anda berdiri selama berjam-jam, menguruskan tugasan yang ‘sensitif’ masa dan menyempurnakan perincian yang rumit di bawah tekanan tinggi.
“Anda bukan sekadar menghias kek di dapur yang tenang, berpeluh di hadapan ketuhar, berlumba dengan masa dan menyempurnakan walau sekecil-kecil perincian,” katanya.
Meskipun penuh cabaran, kerjaya itu menawarkan kepuasan yang tiada tandingan.
“Kegembiraan mencipta sesuatu yang indah dan lazat untuk orang lain jauh melebihi cabarannya.
“Malah setiap bahan berinteraksi dengan cara yang berbeza, dan memahami perbezaan ini adalah kunci.
“Selepas anda menguasai aspek teknikal, sisi seni dalam pembuatan pastri akan benar-benar menyerlah,” katanya.
Menurutnya, latihan dan kelayakan yang betul daripada institusi diiktiraf pastinya membantu membina asas kukuh, mengajar pelajar untuk mengimbangi sains dan kreativiti di samping mengasah gaya unik mereka.
Beliau juga tidak menafikan ketelitian adalah segalanya dalam dunia pastri termasuk cara anda menghiris doh yang sangat nipis atau menghias pencuci mulut dengan ‘frosting’ yang rumit.
“Perhatian terhadap perincian adalah apa yang membezakan cef yang baik daripada yang hebat.
“Selain kreativiti, kemahiran ini amat penting untuk keselamatan (mengendalikan pisau tajam, kuali panas dan peralatan dapur yang berat tanpa sebarang insiden).
Ini kerana dapur pastri adalah persekitaran yang sangat mencabar, penuh dengan tarikh akhir, jangkaan tinggi, dan keperluan ketelitian yang berterusan.
Setiap cefnya perlu mengekalkan ketenangan walaupun dalam situasi yang tertekan, memastikan pasukan mereka kekal bermotivasi dan hasil kerja mereka konsisten.
“Pembuatan pastri mengajar anda kesabaran dan fokus. Ketuhar tidak akan menunggu anda, begitu juga pelanggan.
“Kekal tenang dapat memastikan semuanya dilakukan dengan sempurna walau apa jua keadaan,” katanya.
Beliau turut berpesan kepada anak muda di luar sana yang berminat menceburkan diri dalam dunia kulinari dan bergelar cef hebat supaya sentiasa rendah hati dan jangan pernah berhenti belajar.
“Dunia kulinari sentiasa berkembang. Amalkan sikap terbuka terhadap teknik baharu, terimalah kesilapan dan pelajari sesuatu daripada setiap pengalaman,” katanya.
Tidak dinafikan, apabila lebih ramai anak muda di negara ini menerokai peluang dalam bidang pembuatan pastri, kerjaya berkenaan bermakna ia mula diiktiraf sebagai pilihan kerjaya yang berdaya maju dan menarik.
Dunia pastri menanti anda!
© New Straits Times Press (M) Bhd