Cadangan ISTAF perlu kajian terperinci – PSM

Cadangan ISTAF perlu kajian terperinci – PSM


Laporan Sukan Sinar sebelum ini. Gambar kecil: Abdul Puhat

CADANGAN Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) untuk menambah baik peraturan servis tekong disifatkan sebagai langkah positif ke arah menjadikan sukan itu lebih dinamik sejajar dengan perkembangan semasa.

Timbalan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan menegaskan perubahan tersebut bagaimanapun tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa kerana ia melibatkan aspek teknikal yang kompleks.

“Kajian terperinci perlu dilakukan oleh badan induk negara terlebih dahulu, selain mengambil kira pandangan pihak yang terlibat secara langsung seperti jurulatih dan pemain.

“Sebarang penambahbaikan juga wajar dibincangkan secara menyeluruh agar pelaksanaannya kelak tidak menjejaskan kualiti permainan serta prestasi pemain,” katanya yang juga Presiden Persatuan Sepaktakraw Perak Darul Ridzuan (PERSEDAR) kepada Sukan Sinar.

Ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun sebelum ini menegaskan bahawa cadangan meminda peraturan servis tekong perlu diteliti dengan penuh cermat.

ISTAF terdahulu menyatakan kesediaan untuk menyemak semula peraturan berkaitan posisi tekong semasa melakukan servis dalam bulatan, isu yang dikatakan telah berlarutan selama hampir enam dekad dan sering menjadi polemik dalam kalangan penggiat sukan itu.



Source link

OR

Scroll to Top