Cadangan RCI pinda Akta Tabung Haji 1995 sedang diusahakan

Cadangan RCI pinda Akta Tabung Haji 1995 sedang diusahakan


Kuala Lumpur: Sesi libat urus bersama pihak berkepentingan sedang dijalankan bagi mendapatkan maklum balas berhubung cadangan pindaan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) seperti yang disyorkan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata, langkah itu bertujuan memperkukuh dan memperkasakan lagi kerangka perundangan serta pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) secara keseluruhan.

Beliau berkata kerajaan komited untuk memastikan setiap maklum balas yang diterima menerusi sesi libat urus berkenaan dapat dimanfaatkan bagi memartabatkan lagi institusi pengurusan haji itu.

“Kita telah pun mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan dan Insya-Allah kita akan mendapatkan maklum balas dan input yang terbaik untuk kita mengangkat institusi ini sebagai institusi yang terbaik,” katanya selepas menghadiri Program MADANI Kita (PMK) di Kampung Melayu Ampang, Selangor yang turut dihadiri timbalannya Senator Marhamah Rosli tadi.

Menurut laporan RCI berhubung pengurusan dan operasi TH yang didedahkan kepada umum pada Rabu lalu, suruhanjaya itu mengesyorkan Akta Lembaga Tabung Haji 1995 dipinda bagi menambahbaik tadbir urus dan kawal selia Lembaga TH.

Mengenai perkembangan pelaksanaan syor RCI secara keseluruhan, Zulkifli berkata sebahagian besar daripada syor yang dikemukakan berjaya dilaksanakan dengan impaknya dapat dilihat menerusi prestasi TH yang kini berada pada kedudukan kewangan dan tadbir urus yang jauh lebih kukuh.

“Kita menyaksikan bagaimana kesan dan juga syor-syor yang telahpun disarankan, kita sudah laksanakan sebahagian besarnya.

“Kita nampak pada hari ini Lembaga Tabung Haji telahpun mengalami satu perubahan yang sangat positif dengan rizabnya meningkat, kadar dividen meningkat dan juga tadbir urusnya lebih baik, malahan kita mendapat pengiktirafan sebagai pengurusan haji terbaik di dunia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top