PETALING JAYA: Cadangan penyelarasan harga beras putih tempatan (BPT) masih belum dimuktamadkan sepenuhnya disebabkan kajian terperinci berhubung perkara itu masih sedang berjalan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pada masa sama, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) juga ketika ini baru selesai menghasilkan kajian am berhubung industri padi beras negara.
“KPKM ingin memberi komitmen bahawa setiap aspek penambahbaikan dan syor yang dikemukakan oleh kedua-dua kajian tersebut akan diteliti dan dinilai mengenai kebolehupayaan dan keutamaan pelaksanaannya pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang dimuatnaik di laman sesawang Parlimen Malaysia hari ini.
Jawapan itu diberikan bagi menjawab pertanyaan Jamaludin Yahya (PN – Pasir Salak) yang bertanyakan hasil perbincangan bersama pemegang taruh dalam memuktamadkan cadangan dan perincian bagi mencari penyelesaian terbaik isu padi dan beras seperti yang dimaklumkan pada Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga yang lalu.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, susulan keputusan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada 19 Mac lalu yang lalu, KPKM telah diarah untuk meneruskan perbincangan bersama dengan semua pemegang taruh meliputi jabatan dan agensi kerajaan, pesawah, pengilang, pemborong dan peruncit.
Katanya, perbincangan itu adalah bagi memperhalusi pelan Tindakan jangka panjang struktur kos pengeluaran beras yang lebih realistic dalam memastikan industri padi dan beras adalah mampan.
“Sesi libat urus bersama pemegang-pemegang taruh telah selesai namun cadangan-cadangan termasuk cadangan penyelarasan harga baharu beras putih tempatan (BPT) masih belum dimuktamadkan sepenuhnya memandangkan kajian terperinci mengenainya masih sedang berjalan,” katanya.