CAFA tegaskan tak pernah ubah tarikh, kesal Harimau Malaya tarik diri

CAFA tegaskan tak pernah ubah tarikh, kesal Harimau Malaya tarik diri


CAFA jelaskan tarikh saingan tidak pernah ditukar.

PERSATUAN Bola Sepak Asia Tengah meluahkan rasa kesal selepas Malaysia menarik diri daripada menyertai kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025 yang akan berlangsung bulan depan.

Menurut CAFA, penarikan diri pada saat akhir ini telah menjejaskan sebahagian proses penganjuran yang sedang berjalan memandangkan peringkat perancangan dan persediaan kini telah memasuki fasa akhir.

Persatuan itu turut menafikan bahawa tarikh kejohanan telah berubah yang menjadi punca Harimau Malaya menarik diri.

“Penyertaan Malaysia sebelum ini telah disahkan lebih awal dengan pengetahuan penuh mengenai tarikh kejohanan yang dijadualkan berlangsung dari 29 Ogos hingga 8 September 2025 dan tarikh itu tidak pernah berubah sejak dari awal.

“FAM memaklumkan bahawa kejohanan ini tidak sepenuhnya jatuh dalam kalendar perlawanan antarabangsa FIFA, menyebabkan pelepasan pemain berkemungkinan terhad.

“Bagaimanapun, berdasarkan peraturan kejohanan, pendaftaran akhir pemain yang dipilih daripada senarai awal 35 pemain boleh dilakukan secara perlawanan demi perlawanan. Ia memberikan fleksibiliti maksimum, termasuk membolehkan pemain utama menyertai pasukan untuk aksi seterusnya,” kata CAFA dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan Harimau Malaya tidak akan beraksi pada saingan CAFA susulan perubahan terkini terhadap tarikh penganjuran yang jatuh di luar jendela antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Menurut FAM, ia telah menimbulkan cabaran besar dari sudut logistik, ketersediaan pemain, dan tahap kesiapsiagaan skuad secara keseluruhan.

Dalam pada itu, CAFA menyatakan komitmen mereka untuk terus menganjurkan kejohanan yang berkualiti tinggi dan kompetitif bagi rakyat Asia Tengah dan seluruh dunia.

“Kami erakamkan penghargaan kepada semua negara yang terus memberikan sokongan dan kerjasama,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top