KUALA LUMPUR- Cagamas Bhd, perbadanan gadai janji negara, berjaya meraih RM2.2 bilion pada Oktober dalam persekitaran pasaran yang mencabar.
Dana tersebut terdiri daripada Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) lima tahun bernilai RM400 juta, Nota Jangka Sederhana Konvensional (CMTN) setahun bernilai RM100 juta, RM575 juta dalam Kertas Komersial Islam (ICP) bernilai RM575 juta, dan Kertas Komersial Konvensional (CCP) bernilai RM150 juta.
Tambahan S$305 juta (RM1 bilion) diterbitkan dalam Nota Jangka Sederhana Dolar Singapura setahun melalui anak syarikat milik penuh Cagamas, Cagamas Global PLC.
Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas Kameel Abdul Halim berkata kejayaan memuktamadkan pengumpulan dana pada Oktober, mengukuhkan peranan Cagamas sebagai perbadanan gadai janji sekunder dalam menyediakan kecairan kepada pemberi pinjaman utama pembiayaan dan pinjaman perumahan.
Beliau berkata permintaan untuk bon mata wang asing Cagamas kekal berdaya tahan merentasi pelbagai profil pelabur.
“Terbitan dolar Singapura dilanggan sepenuhnya oleh pelabur asing, termasuk pengurus aset dan institusi kewangan. Terbitan terbaharu ini menjadikan terbitan terkumpul berdenominasi dolar Singapura bagi tahun ini kepada S$525 juta, dengan jumlah dana yang diperoleh Cagamas mencecah RM15.2 bilion setakat Oktober 2024,” katanya.
Cagamas berkata ia menjamin sepenuhnya dan tanpa syarat bon berdenominasi dolar Singapura yang diterbitkan melalui Cagamas Global, manakala terbitan ringgit, yang akan ditebus pada nilai nominal penuhnya apabila matang, adalah obligasi tidak bercagar syarikat dengan kedudukan setara (pari passu) dengan semua obligasi tidak bercagar syarikat ini yang sedia ada.
— BERNAMA
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL