KUALA LUMPUR: “Kami masih berdoa.”
Demikian respons pelakon, Yusuf Bahrin apabila diajukan soalan mengenai cahaya mata.
Menurut Yusuf, dia dan isteri, Zizi Kirana menyerahkan soal zuriat kepada ketentuan Allah.
“Belum ada lagi (cahaya mata). Kami hanya mampu berdoa dan mengharapkan doa orang ramai,” kongsinya.
Yusuf berkata demikian semasa majlis berbuka puasa LOL Entertainment, baru-baru ini.
Pelakon drama Seindah Hujan Cinta itu memaklumkan tidak lagi menerima pertanyaan mengenai hal tersebut daripada keluarga dan sanak saudara.
“Awal dulu ada juga diajukan soalan begini. Tapi selepas lima tahun kami berkahwin, orang sekeliling tidak lagi bertanyakan perkara sama kerana mereka melihat kami okey dengan keadaan sekarang.
“Keluarga faham, soal anak ini berkaitan rezeki masing-masing. Kami sampai satu tahap penat menjawab soalan sama,” kongsinya lagi.





