July 27, 2024

Calon PH bagi PRK Kuala Kubu Bharu masih dibincang – Gobind

Calon PH bagi PRK Kuala Kubu Bharu masih dibincang – Gobind


KUALA LUMPUR – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu masih dalam perbincangan, kata Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo.

Gobind yang juga Pengerusi DAP Selangor berkata, pihaknya menerima banyak cadangan nama sebagai calon PH dalam PRK itu dan senarai nama berkenaan sedang dipertimbangkan.

“Perbincangan bersama PH Selangor telah diadakan dan soal berkenaan dengan calon itu akan diputuskan, kemudian akan dibawa ke peringkat pusat dengan jawatankuasa yang dianggotai lima pemimpin akan membuat keputusan.

“Kami berharap dapat memuktamadkan keputusan untuk meletakkan calon dalam PRK Kuala Kubu Baharu dalam masa terdekat dan akan diumumkan sebelum hari penamaan calon,” katanya kepada Bernama.

Pada 4 April lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing pada 27 April (Sabtu) dan 7 Mei (Selasa).

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong, susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac.

Kee Hiong, 58, yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013, meninggal dunia selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lepas.

PRK Kuala Kubu Baharu ialah PRK ketujuh yang akan diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.

Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK Kuala Kubu Baharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara. – BERNAMA



Source link

OR

Scroll to Top