Calon PN, PH bertembung ketika kempen hari kedua

Calon PN, PH bertembung ketika kempen hari kedua


BATANG KALI – Masuk hari kedua kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, dua calon bertembung di Pasar Tani Batang Kali.

Calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut dan calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao memulakan kempen mereka di tempat yang sama pagi ini.

Kehadiran mereka pada jam 8.30 pagi secara serentak adalah untuk program ramah mesra dengan pengundi terdiri dalam kalangan peniaga dan pengunjung di sekitar pasar Batang Kali.

Mengiringi Khairul Azhari adalah adalah Ahli Parlimen Hulu Selangor, Hasnizan Harun dan mengiringi Sock Tao adalah Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dan Young Syefura Othman.

Khairul Azhari ketika ditanya mengenai pertembungan itu berkata, kedua-dua hanya menegur sapa antara satu sama lain.

“Kita bersaing dan berkempen secara sihat, kita perlu hormati sesama lain. Tidak cakap pasal kempen cuma bertegur sapa sahaja,” katanya ketika ditemui di Pasar Pagi Batang Kali.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia).

PRK Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lepas, Kee Hiong menewaskan tiga pencabarnya daripada Perikatan Nasional, Parti Rakyat Malaysia dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dengan meraih majoriti undi sebanyak 4,119.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei manakala pengundian awal pada 7 Mei.

Untuk rekod, PRK Kuala Kubu Baharu merupakan PRK ketujuh yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top