June 24, 2024

Calon PRM bagi laluan pada ‘giant’ berkempen dulu


KUALA KUBU BAHARU – Calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainudin mengambil pendekatan berbeza dalam berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu yang sedang berlangsung.

Ketika dihubungi MalaysiaGazette, Hafizah memberitahu, gerak kerja jenteranya hanya akan bermula pada Jumaat ini.

Katanya, pendekatan seperti itu diambil kerana mahu memberikan laluan terlebih dahulu kepada calon-calon lain yang bertanding, selain ia merupakan strateginya.

“Kita bagi laluan dululah pada kita punya giant (gergasi) tukan…bagi laluan kepada mereka. Minggu depan memang kita ‘boomlah’ untuk kita punya kempen,” katanya.

Hafizah merupakan salah seorang daripada pencabar yang akan beradu nasib pada pilihan raya tersebut.

Tiga lagi yang akan bersaing merebut kerusi iaitu Pang Sock Tau daripada Pakatan Harapan (PH); Khairul Azhari Saut, Perikatan Nasional (PN) dan Nyau Ke Xin (bebas).

Dalam pada itu, Hafizah berkata, sepanjang dua hari sejak semalam dia sibuk menghadiri satu bengkel yang diadakan di Petaling Jaya Selangor.

Jelasnya, dia tidak boleh mengelak daripada bengkel tersebut kerana namanya telahpun disenarai untuk hadir.

Bagaimanapun, beliau berjanji akan mengadakan sidang media sulungnya pada Jumaat ini dan esok beliau akan berada di sini.

“Esok saya ada di sanalah (Kuala Kubu Baharu). Ya, esok saya ada, tapi dengan press (media) hari jumaat nanti (sidang media). Nanti saya akan maklumkan semula,” ujarnya.

PRK Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 11 Mei dan 7 Mei untuk pengundian awal. – MalaysiaGazette

 



Source link

OR

Scroll to Top