GOPENG: Capaian internet dan telekomunikasi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning akan ditambah baik bagi memastikan kelancaran Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan berlangsung bulan depan.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Mohd. Azlan Helmi Helmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah diminta melihat capaian internet di kawasan berkenaan berikutan terdapat aduan capaian lemah terutama di kawasan kampung dan pedalaman.
Katanya, isu capaian internet yang lemah itu juga mendapat perhatian Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
“Capaian internet dan telekomunikasi di kawasan itu bukannya tiada langsung cuma agak lemah. Tambahan lagi pada pilihan raya kecil nanti, kawasan itu akan jadi tumpuan dan sudah pasti capaian internet akan terganggu.
“Pihak SKMM telah dimaklumkan berkaitan perkara ini dan mereka akan turun padang untuk melihat sendiri keadaan di sana bermula Isnin ini,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan program Meriah Beraya Sejahtera Bersama 2025 di Pasar Raya Mydin, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai 200 keluarga dalam DUN Tualang Sekah menerima wang tunai RM150 bagi membeli keperluan dan persiapan raya melibatkan peruntukan keseluruhan RM30,000.
Menurut Mohd Azlan yang juga ADUN Tualang Sekah, langkah segera menangani masalah liputan di DUN Ayer Kuning perlu dilakukan, mengambil kira peningkatan jumlah pengguna sepanjang PRK berlangsung.
Katanya, untuk jangka masa panjang, kerajaan negeri sedang merancang pemasangan beberapa menara telekomunikasi baharu bagi memberi liputan lebih baik di kawasan tersebut.
“Dengan adanya PRK, sudah pasti kawasan ini menjadi tumpuan ramai dan sedikit sebanyak akan mengakibatkan gangguan terhadap keupayaan menara (telekomunikasi) sedia ada.
“Ini yang kita mahu atasi secepat mungkin supaya dalam proses demokrasi ini, semua pihak boleh menggunakan talian internet dengan selesa,” katanya. – UTUSAN