Cape Verde, Vietnam tak sama, Malaysia mesti lebih bersedia

Cape Verde, Vietnam tak sama, Malaysia mesti lebih bersedia


Cape Verde dan Vietnam dijangka menghadirkan gaya tentangan berbeza buat Harimau Malaya. Foto FB Malaysia NT

MALAYSIA perlu bersedia dengan variasi taktikal untuk berdepan aksi persahabatan menentang Cape Verde dan Vietnam dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2027.

Bekas penyerang negara, Safee Sali menjangkakan kedua-dua pasukan tersebut mempunyai corak permainan berbeza dan apa yang pasti skuad Harimau Malaya perlu lebih bersedia untuk menguji kekuatan mereka.

Ini kerana kata beliau, strategi permainan pasukan lawan dilihat berlainan terutama daripada segi bentuk dan corak menyerang.

“Secara jujur, (Cape Verde) bukan memiliki corak permainan sama dengan Vietnam. Sebab Vietnam ada corak permainan berbeza (terutama daripada segi) pergerakan dan corak serangan,” katanya.

Safee menjelaskan bahawa Cape Verde dilihat memiliki kepintaran bola sepak yang sangat baik.

Justeru beliau menjangkakan, kualiti yang dimiliki pasukan lawan itu bakal menguji ketahanan anak buah Peter Cklamovski.

“Apa yang saya dapat lihat ialah Cape Verde memiliki kepintaran dalam bermain yang berbeza. Saya rasa walaupun dalam perlawanan persahabatan, itu akan menguji ketahanan dan keserasian.

“Macam mana kita persiapkan pasukan untuk terapkan apa yang kita mahukan, itu yang lebih penting,” katanya.

Malaysia bakal menentang Cape Verde untuk dua aksi pemanas badan dengan saingan pertama merupakan perlawanan antarabangsa Tier 1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei.

Ia disusuli aksi tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 3 Jun.

Skuad Harimau Malaya kemudian akan menentang Vietnam untuk aksi kedua kelayakan Piala Asia 2027 di venue sama pada 10 Jun.



Source link

OR

Scroll to Top