Cara kembalikan harta orang

Cara kembalikan harta orang


– Advertisement –

Soalan:

Dulu saya pernah ambil barang milik orang tanpa izin dan sekarang saya hendak kembalikannya. Betulkah orang kata kalau sudah tidak jumpa tuan barang sebab sudah berpindah ke tempat lain, kita boleh sedekah barang tersebut?

Jawapan:

Siapa yang mengambil harta orang lain lain tanpa izin maka perbuatannya itu haram dan wajib dia bertaubat kepada Allah dan wajib pula dia kembalikan harta tersebut kepada pemiliknya, dan jika pemiliknya sudah mati, maka wajib dia serahkan kepada warisnya.

Jika pemiliknya sudah berpindah, maka wajib dia cari pemilik tersebut di tempat dia berpindah dan kembalikan hartanya kepadanya atau kepada warisnya dan meminta maaf daripadanya.

– Advertisement –

Jika pada adatnya sudah putus asa dari bertemu pemiliknya atau warisnya, maka bolehlah dia bersedekah harta tersebut atau nilainya.

Berkata Imam Ghazali:

يجب أن ترده عليه، إن أمكنك، فإن عجزت عن ذلك؛ لعدم أو فقر، فتستحل منه. وإن عجزت عن ذلك لغيبة الرجل أو موته، وأمكن التصدق عنه، فافعل، فإن لم يمكن، فعليك بتكثير حسناتك، والرجوع إلى الله تعالى بالتضرع، والابتهال إليه أن يرضيه عنك يوم القيامة

Ertinya: “Wajib kamu kembalikan harta yang diambil ke atasnya jika dapat. Maka jika kamu tidak mampu dari pulangkan harta atau bayar gantinya kerana harta sudah itu sudah tiada dan kamu miskin tidak dapat mengganti nilainya maka hendaklah kamu minta halal daripadanya. Maka jika kamu tidak mampu juga yang demikian itu kerana pemiliknya tidak dijumpai atau telah mati dan kamu boleh bersedekah maka sedekahlah. Maka jika kamu tidak mampu bersedekah maka banyakkan berbuat amal soleh dan kembali kepada Allah Taala dengan merendah diri dan bertaubat sungguh-sungguh kepada-Nya mudah-mudah Allah meredhai kamu pada hari kiamat.” (Kitab Minhaj Al-Abidin)

Hendaklah sedekah yang dilakukan itu diniatkan atas nama pemiliknya semoga menjadi pahala ke atas pemiliknya di akhirat sana.

Berkata Imam Ibnu Al-Qayyim:

فَإِنْ تَعَذَّرَ ذَلِكَ، تَصَدَّقَ بِهِ عَنْهُ، فَإِنِ اخْتَارَ صَاحِبُ الْحَقِّ ثَوَابَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، كَانَ لَهُ. وَإِنْ أَبَى إِلَّا أَنْ يَأْخُذَ مِنْ ‌حَسَنَاتِ ‌الْقَابِضِ، اسْتَوْفَى مِنْهُ نَظِيرَ مَالِهِ، وَكَانَ ثَوَابُ الصَّدَقَةِ لِلْمُتَصَدِّقِ بِهَا، كَمَا ثَبَتَ عَنِ الصَّحَابَةِ رضي الله عنهم

Ertinya: “Maka jika lemah dari yang demikian itu yakni tidak dapat menemuinya maka sedekahlah dengan harta itu daripadanya. Maka jika pemiliknya hendak memilih pahala sedekah itu pada hari kiamat nescaya jadilah pahala itu baginya. Dan jika pemilik itu enggan dari menerima pahala tersebut jadilah ia menyempurnakan apa yang kurang daripada bandingan hartanya dan adalah pahala sedekah itu bagi yang bersedekah dengannya sepertimana yang sabit daripada sahabat r.a.” (Kitab Zadul Ma’ad)

Ringkasnya hendaklah dilakukan seperti urutan di bawah ini:

Wajib bertaubat dan dikembalikan harta yang diambil cara yang tidak benar kepada tuan harta dan meminta maaf daripadanya.
Jika harta tersebut sudah tiada, maka wajib dibayar akan harganya.
Jika tidak mampu membayarnya sebab miskin, maka hendaklah meminta halal daripadanya.
Jika tuan harta sudah mati, maka wajib diserahkan kepada warisnya.
Jika tuan harta sudah pindah, maka wajib mencari tuan harta dan warisnya.
Jika semua cara di atas tidak berjaya, maka bolehlah disedekahkan.
Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 18/10/2024

Tulisan ini diambil daripada laman Facebook Ustaz Azhar Idrus.

– Advertisement –



Source link

OR

Scroll to Top