firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Safawi Rasid tidak menunggu lama untuk membuka akaun jaringan bersama pasukan baharunya Kuala Lumpur City FC (KL City) dalam aksi Liga Super menentang Imigresen FC petang tadi.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Batu Kawan di Pulau Pinang itu, Safawi meledak gol kedua sekali gus membantu skuad The City Boys menang 3-0.
Selain gol Safawi di minit 56, dua lagi gol diraih menerusi jaringan sendiri pemain Imigresen FC, Rizal Ghazali (minit 30) dan sepakan penalti, Manuel Hidalgo (minit 83).
Begitupun, jaringan yang diraikan oleh Safawi menimbulkan teka teki dikalangan peminat tanah air.
Ia susulan tindakan Safawi yang meletakkan bola di dalam bajunya seolah memberi bayangan bakal menimang cahaya mata kedua bersama isterinya, Syifa Melvin.
Sebelum ini, pasangan berkenaan dikurniakan seorang anak lelaki yang dinamakan Saif Sulaiman Muhammad Safawi pada 2023 lalu.
Untuk rekod, Syifa atau nama sebenarnya Nur Syifa Atirah Amirul Melvin, 29, dan Safawi mendirikan rumah tangga pada 28 November 2022 di Kuala Lumpur dalam satu majlis tertutup.
© New Straits Times Press (M) Bhd