Cara solat sunat hajat

Cara solat sunat hajat


– Advertisement –

Soalan:

Ustaz boleh tolong tunjuk cara solat sunat hajat paling mudah dan ringkas?

Jawapan:

Barangsiapa yang ada suatu hajat dalam urusan dunia mahupun akhirat maka hendaklah dia berdoa sungguh-sungguh meminta kepada Allah dan yang lebih eloknya ialah dia bersolat sekurang-kurangnya dua rakaat memohon kepada Allah ditunaikan hajatnya itu kerana mengikut akan sunnah Rasulullah sollallahu alaihi wasallam.

Solat hajat dikerjakan apabila ada hajat yang penting atau mustahak seperti meminta selamat perjalanan atau meminta diberikan kesembuhan dari sakit atau meminta zuriat atau meminta lepas dari musibah dan yang seumpamanya.

– Advertisement –

Tidak disunatkan solat hajat untuk perkara remeh temeh seperti kerana mahu pakai baju atau mahu duduk bangun.

Tidak boleh solat hajat kerana perkara yang haram seperti meminta perkara syirik dan dosa dan seumpamanya.

Solat hajat ini termasuk solat-solat yang sunat dan harus dikerjakan solat sunat hajat ini sama ada pada waktu siang atau malam.

Dalil solat hajat dan hukumnya

Dari ‘Uthman bin Hunaif r.a. katanya:

أَنَّ رَجُلاً ضَرِيرَ الْبَصَرِ أَتَى النَّبِيَّ فَقَالَ: ادْعُ اللهَ لِي أَنْ يُعَافِيَنِي. فَقَالَ: إِنْ شِئْتَ أَخَّرْتُ لَكَ وَهُوَ خَيْرٌ وَإِنْ شِئْتَ دَعَوْتُ. فَقَالَ: ادْعُهْ. فَأَمَرَهُ أَنْ يَتَوَضَّأَ فَيُحْسِنَ وُضُوءَهُ وَيُصَلِّىَ رَكْعَتَيْنِ وَيَدْعُوَ بِهَذَا الدُّعَاءِ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ وَأَتَوَجَّهُ إِلَيْكَ بِمُحَمَّدٍ نَبِيِّ الرَّحْمَةِ. يَا مُحَمَّدُ، إِنِّي قَدْ تَوَجَّهْتُ بِكَ إِلَى رَبِّي فِي حَاجَتِي هَذِهِ لِتُقْضَى. اللَّهُمَّ فَشَفِّعْهُ فِيَّ

Ertinya: “Sungguhnya seorang lelaki yang hilang penglihatannya telah mendatangi Nabi sollallahu alaihi wasallam maka berkata ia: Doakan aku wahai Nabi agar Allah sembuhkan aku ini.

Maka jawab baginda: Jika kamu mahu aku akan tundakan bagi kamu permintaan kamu ini. Ia lebih baik. Dan jika kamu mahu juga aku akan doakan untuk kamu.

Kata lelaki itu: Doakanlah untuk aku.

Maka Nabi sollallahu alaihi wasalllam menyuruhnya mengambil wuduk dan mengelokkan wuduknya itu dan bersolat dua rakaat dan berdoa dengan doa ini: ” Ya Allah sungguhnya aku meminta kepada-Mu dan aku hadapkan wajahku kepada-Mu dengan berkat Nabi Muhammad pembawa rahmat. Wahai Nabi Muhammad sungguhnya aku telah hadapkan wajahku dengan berkatmu kepada Tuhanku pada hajatku ini supaya ditunaikan ia. Ya Allah terimalah syafaatnya untuk aku.” (Hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi dan Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah)

Berkata Syeikh Abdurrahman Al-Jaziri:

يندب لمن كانت له حاجة مشروعة أن يصلي ركعتين، كما ورد في قوله صلى الله عليه وسلم: “من كانت له عند الله حاجة، أو إلى أحد من بني آدم، فليتوضأ، ويحسن الوضوء، ثم ليصل ركعتين، ثم ليثن على الله تعالى، وليصل على النبي صلى الله عليه وسلم، ثم ليقل: لا إله إلا الله الحليم الكريم، سبحان الله رب العرش العظيم، الحمد لله رب العالمين، أسألك موجبات رحمتك، وعزائم مغفرتك، والغنيمة من كل برْ، والسلامة من كل إثم، لا تدع لي ذنباً غفرته، ولا هماً إلا فرجته، ولا حاجة هي لي رضاً إلا قضيتها يا أرحم الراحمين” أخرجه الترمذي عن عبد الله بن أبي أوفى

Ertinya: “Disunatkan bagi siapa yang mempunyai hajat yang diharuskan syarak bahawa dia kerjakan solat dua rakaat sebagaimana yang telah datang pada hadis iaitu sabda Nabi sollallahu alaihi wasallam: Barangsiapa ada baginya hajat kepada Allah atau kepada manusia maka hendaklah dia berwuduk dan elokkan wuduknya itu kemudian bersolat dua rakaat kemudian hendaklah dia memuji akan Allah Taala dan berselawat ke atas Nabi sollallahu alaihi wasallam kemudian mengucapkan: Tiada Tuhan selain Allah yang lemah lembut lagi mulia. Mahasuci Allah Tuhan yang memerintah arasy yang maha besar. Segala puji bagi Allah Tuhan sekelian alam. Aku bermohon kepada-Mu segala yang mewajibkan Rahmat-Mu dan segala yang mengundang keampunan Mu dan segala kurniaan yang berkebajikan dan keselamatan dari sekelian dosa. Janganlah Engkau tinggalkan dosaku kecuali Engkau ampunkannya dan tiada tinggalkan dukacita melainkan Engkau legakannya dan tiada hajat yang aku sukai melainkan Engkau tunaikannya wahai Tuhan yang sangat kasih sayang. Telah mengeluarkan hadith ini oleh At-Tirmizi daripada Abdullah bin Abi Aufa.” (Kitab Al-Fiqh ala Mazahib Al-Arba’ah)

Solat sunat hajat sama caranya seperti solat sunat yang lain samada pada syarat dan adabnya.

Cara solat hajat

Niat solat hajat ketika bertakbir ialah hadirkan di dalam hati:

أُصَلِّي سُنَّةَ الْحَاجَةِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى

“Sahaja aku sembahyang sunat hajat dua rakaat kerana Allah Taala.”

atau niat-niat yang mempunyai pengertian yang sama.

Selepas membaca Fatihah sunat dibaca surah mana yang mudah untuk dibaca tidak ada ditetapkan surah atau ayat tertentu dalam solat hajat ini.

Begitu juga pada rakaat yang kedua.

Selepas memberi salam hendaklah berdoa meminta kepada Allah agar hajat kita tercapai.

Antara doa yang elok dibaca ialah doa lelaki yang tersebut pada hadith di atas tadi atau doa berikut:

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ الْحَلِيمُ الْكَرِيمُ، سُبْحَانَ اللهِ رَبِّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ، الْحَمْدُ لِلهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، أَسْأَلُكَ مُوجِبَاتِ رَحْمَتِكَ وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالْغَنِيمَةَ مِنْ كُلِّ بِرٍّ وَالسَّلاَمَةَ مِنْ كُلِّ إِثْمٍ، لاَ تَدَعْ لِي ذَنْبًا إِلاَّ غَفَرْتَهُ وَلاَ هَمًّا إِلاَّ فَرَّجْتَهُ وَلاَ حَاجَةً هِيَ لَكَ رِضًا إِلاَّ قَضَيْتَهَا، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ

Ertinya: “Tiada Tuhan yang sebenar-benar melainkan Allah yang maha lemah lembut dan maha mulia. Maha suci Allah yang memiliki Arasy yang sangat besar. Segala pujian itu adalah milik Allah. Aku mohon kepada-Mu semua yang mengundang Rahmat-Mu. Yang mendapatkan keampunan-Mu. Dan kekayaan dari segala kebaikkan dan selamat dari segala dosa. Janganlah Engkau tinggalkan aku dalam keadaan berdosa melainkan Engkau ampunkan. Dan tidak juga dalam kegundahan melainkan Engkau berikan jalan kelepasan. Dan tiada ada sebarang hajat yang Engkau redha melainkan Engkau tunaikannya. Wahai Tuhan yang amat menyayangi dari semua yang menyayangi.”

Atau doa ini:

اَللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ وَأَتَوَجَّهُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّكَ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَبِيِّ الرَّحْمَةِ ، يَا مُحَمَّدُ إِنِّي تَوَجَّهْتُ بِكَ إِلَى رَبِّي فِي قَضَاءِ حَاجَتِي هَذِهِ لِتُقْضَى لِي ، اَللَّهُمَّ فَشَفِّعْهُ فِيَّ

Ertinya: “Ya Allah. Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dan menghadapkan wajahku kepada-Mu dengan perantaraan Nabi Mu Nabi Muhammad sollallahu alaihi wasallam Nabi rahmat. Wahai Nabi Muhammad sesungguhnya aku menghadapkan wajahku melalui tuan hamba kepada Tuhanku bagi menunaikan hajatku ini agar hajatku ini diperkenankan kepadaku. Ya Allah. Kurniakanlah syafaat Nabi sollallahu alaihi wasallam di dalam permohonanku.”

Boleh juga berdoa ketika di dalam sujud solat selepas membaca tasbih sujud dan sebelum memberi salam.

Solat sunat hajat afdhal dikerjakan seorang diri tetapi jika dikerjakan berjemaah hukumnya adalah harus dan sah. Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 13/10/2024

Tulisan ini diambil daripada laman Facebook Ustaz Azhar Idrus.

– Advertisement –



Source link

OR

Scroll to Top