London: Cardiff akan menjadi tuan rumah perlawanan pembukaan Kejohanan Eropah 2028 (Euro 2028) pada 9 Jun, manakala perlawanan akhir dijadual berlangsung di Stadium Wembley, London pada 9 Julai, umum UEFA, semalam.
Kejohanan tersebut yang dianjur bersama oleh England, Scotland, Wales dan Ireland akan menampilkan 51 perlawanan membabitkan 24 negara di sembilan venue di lapan bandar, termasuk Birmingham, Dublin, Glasgow, Liverpool, Manchester dan Newcastle.
Separuh akhir dan satu perlawanan suku akhir juga diadakan di Wembley, manakala tiga perlawanan suku akhir lain akan berlangsung di Dublin, Glasgow dan Cardiff.
Perlawanan pusingan 16 terbaik akan dibahagikan antara semua venue tuan rumah, kecuali Wembley. Negara tuan rumah yang layak secara automatik bermain perlawanan peringkat kumpulan mereka di tanah air masing-masing.
“Di UEFA EURO 2028, kita semua akan bersatu dalam bahasa bola sepak, kuat, jelas dan bersatu,” kata Presiden UEFA, Aleksander Ceferin dalam satu kenyataan.
“Negara-negara tuan rumah, tempat asal permainan ini berkembang, amat teruja untuk menyambut jutaan peminat di stadium-stadium bersejarah.
“Dengan cara perlawanan dianjurkantermasuk waktu sepak mula baharu yang lebih mudah untuk perlawanan akhir, kami mahu memaksimumkan pengalaman peminat.”
UEFA mengesahkan tiga waktu sepak mula rasmi bagi kejohanan ini: 1400 GMT, 1700 GMT dan 2000 GMT.
Pada Mei lalu, badan induk bola sepak Eropah UEFA mengesahkan England, Ireland, Scotland dan Wales akan menyertai pusingan kelayakan Euro 2028, dengan hanya dua tempat automatik disediakan sekiranya mana-mana negara tuan rumah gagal layak.
England muncul naib juara Euro 2024, manakala Scotland tersingkir di peringkat kumpulan. Wales dan Ireland pula tidak layak ke kejohanan tahun lalu yang dianjurkan di Jerman.
Belfast dipilih sebagai tuan rumah majlis undian kelayakan Euro 2028, yang dijadual diadakan di ibu negara Ireland Utara pada 6 Disember 2026.
© New Straits Times Press (M) Bhd






