Careca perkuat jentera tengah TFC

Careca perkuat jentera tengah TFC


sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Selepas empat musim, bekas pemain Perak FC, Raianderson da Costa kembali mewarnai kancah Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/2026 selepas ‘dirantai’ Terengganu FC (TFC).

Berita kehadiran pemain berusia 30 itu dimaklumkan pengurusan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd menerusi kenyataan media petang ini.

Ketua Pegawai Operasinya, Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata, pemain berketinggian 1.84 meter itu diikat selama setahun sehingga berakhirnya saingan Liga M pada musim ini.

Kehadiran bekas pemain tengah menyerang skuad The Bos Gaurus musim 2019-2021 itu bagi menggantikan posisi tengah yang sebelum ini menjadi milik pemain Filipina, Manuel Ott.

“Careca sah menjadi pemain import baharu kelima TFC selepas menandatangani kontrak selama satu musim, kehadiran pemain kelahiran Rio Branco, Brazil ini mengundang keterujaan peminat bola sepak tempatan.

“Ini kerana pemain itu bukanlah asing di pentas Liga M kerana pernah beraksi bersama Perak FC dengan memperagakan aksi yang meyakinkan selepas meledak 11 gol sepanjang 28 penampilannya bersama pasukan itu.

“Pemain tengah menyerang itu terkenal dengan kemampuan mencipta peluang, kelincahan mengawal bola serta ketajaman penyudah yang mampu menghadirkan ancaman kepada benteng lawan.

“Sepanjang kariernya, dia sudah menimba pengalaman berharga bukan hanya dalam Liga Brazil, tapi juga di Asia termasuk Malaysia dan Korea Selatan bersama kelab Gangneung City, rekod cemerlang itu bakal menjadi aset penting TFC,” kata Mohd Syahrizan menerusi kenyataan media petang ini.

Kepulangan semula Careca ke Liga M bersama TFC dilihat sebagai satu langkah strategik oleh pengurusan kelab dalam usaha memperkukuh jentera serangan pasukan.

“Careca akan menyarung jersi bernombor 26, dengan kemahiran teknikal dan visi permainan yang dimilikinya, pemain itu dijangka menjadi tonggak penting dalam merencana serangan dan membuka ruang buat penyerang lain,” ujar Mohd Syahrizan.

Terdahulu TFC sudah ‘merekrut’ empat pemain import iaitu Yann Mabella, Junior Sam, Gabriel Costa serta pemain musim lalu, Nurillo Tukhtasinov.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top