Cari 12 Bakat Baharu, Penerbit Jaja Ishak Pentingkan Disiplin – “Pernah Jumpa Penyanyi Yang Enggan Datang Promosi”

Cari 12 Bakat Baharu, Penerbit Jaja Ishak Pentingkan Disiplin – “Pernah Jumpa Penyanyi Yang Enggan Datang Promosi”


Penerbit drama, Jaja Ishak menegaskan kejayaan seseorang artis tidak hanya bergantung pada bakat dan populariti, tetapi turut ditentukan oleh disiplin kerja dan komitmen tinggi dalam setiap aspek karier seni mereka.

Menurut Jaja yang kini melebarkan sayap sebagai pemilik label muzik, pengalaman bertahun-tahun dalam industri membuatkan dia sedar sikap dan semangat kerja berpasukan memainkan peranan besar dalam menentukan hala tuju seseorang penyanyi.

“Saya pernah jumpa penyanyi yang tak mahu datang promosi, malas sertai sesi radio dan menolak persembahan kecil. Dari situ kita boleh agak sejauh mana mereka mampu pergi.

“Sebab itu saya selalu tekankan kepada artis di bawah label saya supaya berdisiplin dan terbuka untuk belajar, termasuk latihan vokal, kemahiran komunikasi serta menghormati syarat label.

“Kalau label dah aturkan promosi, temu bual media atau perjumpaan dengan rakan strategik, mereka perlu ambil serius. Dunia hiburan bukan hanya tentang glamor, tapi tentang kerja keras dan disiplin,” katanya.

Dalam pada itu, Jaja turut mendedahkan perancangannya untuk menerbitkan 12 lagu baharu tahun depan, sekali gus membuka peluang kepada 12 penyanyi baharu dan profesional untuk diketengahkan dalam industri muzik tempatan.

“Tak kira dari latar belakang mana pun, sama ada kaya, sederhana, berada atau kurang berkemampuan, penyanyi profesional atau busker jalanan, semua boleh mencuba. Apa yang penting ada semangat, disiplin dan suara yang boleh diketengahkan,” ujarnya.

Jaja menambah, projek itu juga merupakan sebahagian daripada usahanya memperluaskan pasaran muzik tempatan ke peringkat antarabangsa termasuk ke Brunei, Singapura, Eropah dan Timur Tengah.

“Tahun depan saya mahu beri tumpuan kepada pengedaran drama ke luar negara sambil meneruskan penerbitan lagu baharu. Beberapa lagu saya sebelum ini pernah tular dan saya percaya walaupun nampak kecil, muzik mampu memberi pulangan jangka panjang yang besar,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top